Malaysia Kekal Komited Selesai Isu Laut China Selatan Secara Aman – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika temu bual koresponden France 24, Marc Perelman semasa lawatan rasmi dua hari ke Perancis pada 4 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk menyelesaikan isu pertikaian di Laut China Selatan secara aman dan melalui rundingan, selaras dengan pendekatan yang diambil bersama negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Dalam temu bual bersama saluran berita antarabangsa, France 24 baru-baru ini, Anwar menjelaskan bahawa rundingan sentiasa menjadi keutamaan berbanding sebarang bentuk ketegangan atau konfrontasi.

“Malaysia kekal komited menyelesaikan isu Laut China Selatan secara aman sebagaimana kita lakukan dengan negara jiran lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam. Rundingan sentiasa jadi keutamaan, bukan ketegangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika temu bual koresponden France 24, Marc Perelman semasa lawatan rasmi dua hari ke Perancis pada 4 Julai 2025. Foto France 24

Selain itu, Anwar turut mempersoalkan mengapa hanya pertikaian dengan China sering dijadikan fokus sedangkan Malaysia turut berdepan isu tuntutan bertindih dengan negara-negara lain.

“Namun persoalannya adalah mengapa hanya isu pertikaian dengan China disasarkan?” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan Malaysia terhadap usaha ASEAN untuk memuktamadkan Kod Tata Laku (Code of Conduct) di Laut China Selatan.

Menurutnya, China juga telah memberikan maklum balas yang positif berhubung proses rundingan tersebut.



No comments: