‘Gagal tadbir SG4 tapi kempunan Putrajaya’
Naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad membidas Perikatan Nasional yang kempunan untuk menjadi kerajaan pusat meskipun pakatan pembangkang tersebut gagal membawa sebarang kemajuan ekonomi mahu pun pembangunan di empat negeri tadbiran mereka – SG4.
“PN gagal menguruskan ekonomi di negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk dijadikan model jika sekali lagi mahu mentadbir Putrajaya.
“SG4 Group Sdn Bhd yang kononnya akan membawa kemajuan ekonomi kepada empat negeri pembangkang terbukti tidak praktikal dan tidak memberi kesan signifikan kepada pembangunan negeri tersebut,” katanya, lapor FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin bahawa gabungan pimpinannya itu mampu menerajui negara dengan lebih baik berbanding kerajaan perpaduan PH-BN.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut menambah prestasi Muhyiddin sebagai PM kelapan mengecewakan kerana gagal menguruskan ekonomi.
Prestasi buruk ini diteruskan oleh blok pembangkang tersebut di parlimen, katanya.
“Ketika sesi pertanyaan perdana menteri (di Dewan Rakyat), mereka (pembangkang) jarang mengajukan soalan yang substantif dan kritis untuk kebaikan rakyat.
“Kabinet bayangan yang dibentuk PN juga tidak berfungsi sebagai semak dan imbang yang efektif malah gagal menawarkan belanjawan alternatif sebagai blok pembangkang untuk dinilai rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment