
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika sesi taklimat pembangunan di Pejabat Daerah Tuaran, sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri di Padang Tuaran pada 22 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
TUARAN, 22 Mar – Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai ketenangan dan kesederhanaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menghadapi hiruk-pikuk politik di negeri ini.
Perdana Menteri berkata pendekatan itu penting bagi menjaga kestabilan negeri dan ia juga membantu kerajaan memberi tumpuan kepada perkara lebih penting untuk rakyat dan negeri.
“Sebab apa kita mahu stabil… (kerana) stabil ini bantu kita fokus dalam kerajaan sekarang. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan kita dalam semua parti bekerjasama memberi sokongan.

“Apabila kita stabil, kita boleh tumpu mengenai transisi tenaga, bagaimana dengan pelan pembangunan, bagaimana dengan AI (kecerdasan buatan) yang sekarang menjadi teknologi baharu yang hebat (dan) kencang merombak sistem dunia.
“Ini kita boleh fikir dengan tenang sebab politiknya stabil. Kalau tidak mana mungkin Perdana Menteri dapat fikir masalah AI. Kerana AI (itu merujuk) Anwar Ibrahim, itu mahu ditumbangkan… jadi (kita harus) tumpu dalam soal pembangunan, masalah rakyat,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan pertemuan beliau dengan pemimpin negeri di Sabah tidak berkisar soal peribadi, sebaliknya berkait kepentingan rakyat.

“Saya jumpa Hajiji tadi, bukan cakap adakah tanah beri kepada saya sikit, ada tak balak untuk saya, tiada.
“Sebaliknya kita bincang bagaimana miskin tegar, bagaimana rumah rakyat, bagaimana jalan berlubang, bagaimana bekalan air.
“Itu yang kita cuba lakukan… kita tidak boleh fikir soal peribadi, ini penting kita merubah sikap pimpinan ini.

“Kalau pimpinan di atas itu serius bersatu, tumpu pembangunan dan bukan asyik hentam sana hentam sini, maki hamun sana maki hamun sini, benci sana benci sini, fikir soal warna kulit, fikir bergaduh soal budaya, bergaduh soal bahasa, bergaduh pasal daerah… (masalah) tak akan selesai,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri turut mengikuti taklimat pembangunan negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tuaran.
No comments:
Post a Comment