OLEH UMAR BAGHARIB ALI
Saya meneliti beberapa komen dari pembangkang yang cuba mengelirukan kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dalam isu mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Antaranya apa yang ditulis oleh Ketua Pemuda Perikatan Nasional YB Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi hantaran Facebook https://www.facebook.com/share/p/1GEr1qFaLk/
Pandangan Afnan tidak tepat sama sekali apabila beliau membingkaikan kenyataan Loke secara negatif. Afnan cuba menyebarkan ketakutan tidak berasas khususnya apabila beliau menulis; “Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti”.. pada akhir hantaran tersebut.
Kenyataan Setiausaha Agung DAP terlalu jauh dari apa yang dinyatakan oleh Afnan. Samada Afnan sengaja hendak mencipta propaganda negatif murahan atau beliau benar-benar naif dan bebal?
Hakikatnya, apa yang dinyatakan Loke dan dipersetujui oleh PM Anwar Ibrahim adalah bertujuan mengelakkan pentadbiran seseorang Perdana Menteri pada tempoh terlalu lama bertukar menjadi diktator dan kuku besi. Ia juga bagi mengelak pembolotan akibat pemusatan kuasa yang terlalu panjang.
Pendekatan ini boleh menutup kemungkinan berlakunya ‘mafsadah’ (kerosakan), salah guna kuasa serta kezaliman akibat terlalu lama di tampuk kuasa.
Ini bukan perkara baharu. Di beberapa negara luar telahpun melaksanakan pendekatan seumpama ini. Contohnya Indonesia telah mengehadkan tempoh 2 penggal pilihan raya, begitu juga Amerika Syarikat.
Namun hal ini juga perlu diperkuat dengan pembaharuan lain contohnya pengasingan kuasa kehakiman agar wujud semak imbang yang lebih berkesan. Sebab itu Loke turut nyatakan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
Inilah antara intipati penting reformasi diperjuangkan oleh PM Anwar Ibrahim yang didukung oleh DAP serta parti-parti Pakatan Harapan.
Namun usaha ini gagal difahami oleh pembangkang. Lebih malang lagi, pembangkang masih tidak mampu keluar dari neraca pemikiran sempit perkauman serta masih gagal memahami sesuatu isu secara holistik.
UMAR BAGHARIB ALI ialah Naib Pengerusi DAP Johor.
No comments:
Post a Comment