
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran di Majlis Perasmian Wajah Baharu Alamanda di Centre Court, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 23 Februari 2025. Foto Eizairi Shamsudin
PUTRAJAYA, 23 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beberapa pemimpin dunia bakal mengadakan lawatan ke Malaysia dalam tempoh sebulan dua ini.
Semasa berucap pada Majlis Perasmian Alamanda berwajah baharu di sini, Anwar berkata antara pemimpin dunia berkenaan ialah dua negara yang mengasaskan BRICS iaitu China dan Afrika Selatan.
“Dalam sebulan dua ini, ramai pemimpin besar akan datang termasuk Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Afrika Selatan (Cyril Ramaphosa),” katanya.

Ini sekaligus membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi penting negara asing dan menerima kunjungan pemimpin besar dunia, meyakini dengan komitmen negara dalam bidang pelaburan dan perdagangan merentas benua.
Difahamkan Presiden Xi dan Presiden Ramaphosa dijadual mengadakan lawatan rasmi sekitar April atau Mei sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ (Inclusivity and Sustainability).
Untuk rekod, bermula Januari tahun ini, beberapa pemimpin asing telah melawat negara antaranya Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Mengulas lanjut Perdana Menteri menegaskan, komitmen dan kesungguhan bukan sahaja ditonjolkan oleh barisan Menteri, tetapi mencerminkan keupayaan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, negara juga menjadi tarikan dunia hasil keharmonian dan perpaduan berbilang bangsa yang diterjemahkan sekaligus berjaya mengekalkan kehidupan dengan penuh rukun dan damai.
“(Malaysia) Pertumbuhan yang baik, pelaburan yang tinggi, AI (kecerdasan buatan) menjadi Pusat Data Centre dan hub semikonduktor walaupun kita hampir kecundang dengan beberapa skandal dan Covid-19,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment