
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr. Zaliha Mustafa ketika hadir pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu pada 23 Februari 2025. Foto Jabatan Wilayah Persekutuan
PUTRAJAYA, 23 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan antara faktor pemulihan dan keberdayaan ekonomi yang pesat serta keupayaan rakyat memajukan negara adalah penyebab utama kemasukan pelabur yang tertarik dengan ekosistem yang terdapat di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Perdana Menteri, para pelabur dan syarikat asing dari luar negara melihat Malaysia antara negara yang berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi baik dan kemasukan pelaburan tinggi ketika beberapa negara lain bergelut untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19 pada 2020.
“Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini luar biasa. Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.

“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang Covid-19, tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor,” kata beliau pada majlis perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.
Untuk rekod pada 2023, Malaysia mencatatkan komitmen pelaburan tertinggi sebanyak RM329.5 bilion merangkumi puluhan negara termasuk dari China, Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Arab dan Eropah.
“Sebab apa (pelaburan datang)? Sebab mereka melihat keupayaan Malaysia, keupayaan seluruh rakyat.

“Oleh itu, kita bagi penghargaan, penghargaan kepada pemuda, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci,” katanya.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa serta pengurusan kanan kompleks beli-belah berkenaan.
Alamanda Putrajaya merupakan antara pusat sehenti bagi warga kawasan ini sebelum kemunculan sebuah lagi pusat beli-belah yang terbesar di Asia Tenggara dari segi keluasan tapak.
No comments:
Post a Comment