TAK MENANG TANGAN SPRM DI ZAMAN MADANI.

 


SOALAN KEPADA SPRM – APA CERITA KES ‘SAFE HOUSE’?


17 November 2024


Sebelum isu rasuah yang melibatkan beberapa Adun di Sabah menjadi sensasi berita, ada dua isu lain yang turut melibatkan SPRM lebih dulu mengambil tempat dalam perhatian ramai.


Dua isu berkenaan ialah pertama, berkaitan FashionValet yang mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta setelah menerima pelaburan daripada Khazanah serta PNB dan kedua, skandal pasir di Selangor yang membawa kepada serbuan beberapa “safe house” di sekitar Lembah Kelang.


Dilaporkan sejumlah RM5 juta wang tunai ditemui dalam serbuan di sebuah “safe house” dan kemudian dalam dua lagi “safe house” yang diserbu SPRM, sejumlah lebih RM300 ribu lagi turut ditemui.


Dilaporkan dalam beberapa laporan berita, skandal pasir itu adalah melibatkan ahli politik berpengaruh di Selangor.


Dalam kes FashionValet, seiring dengan pasangan suami isteri pemilik syarikat itu sudah lima enam kali dipanggil mengadap SPRM, agensi penguatkuasa rasuah itu menyatakan hasil siasatan dijangka akan siap dalam tempoh dua minggu lagi.


Maknanya, tidak lama lagi kita akan mengetuai sama ada kes akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.


Tetapi, dalam kes skandal pasir yang dikatakan melibatkan ahli politik berpengaruh di Selangor dan penemuan wang tunai dalam “safe house”, setakat ini semacam ianya senyap begitu saja.


Tiada lagi apa-apa perkembangan kedengaran daripada pihak SPRM.


Kenapa tiada perkembangan susulan, sedangkan ahli politik berpengaruh yang dikatakan terlibat itu sudah dikenalpasti, selain wang tunai lebih RM5 juta telah ditemui dan dirampas oleh SPRM?


Apa hasil siasatan SPRM dalam kes berkenaan?


Ada kes atau tiada kes?


Bila hasil siasatan mahu diangkat ke pejabat Peguam Negara?


Sementara SPRM kini mula sibuk menyiasat dan sehingga ini dilaporkan telah mengambil keterangan lima Adun Sabah berkaitan dakwaan  rasuah yang ditimbulkan oleh seorang pemberi maklumat dalam projek mineral di negeri Sabah, diharap kes skandal pasir di mana lebih RM5 juta wang tunai ditemui dalam “safe house” sebelum ini tidak pula dilupakan begitu saja.


SPRM harus tampil dan mendedahkan hasil siasatan mereka berkaitan projek  pasir dan penemuan wang tunai dalam “safe house” yang lebih dulu diperkatakan ramai sebelum timbulnya isu rasuah melibatkan Adun-Adun Sabah.


Rakyat sedang memerhati dan tidak sabar menunggu perkembangan seterusnya. – ShahbudinHusin 17November2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/11/soalan-kepada-sprm-apa-cerita-kes-safe-house/