SPRM TAK PATUT BERLENGAH MULAKAN SIASATAN, PEMBERI MAKLUMAT SAH TIDAK LAYAK DIBERI PERLINDUNGAN
16 November 2024
Dalam perkembangan terbaru berkaitan isu dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah yang ditimbulkan oleh seorang pemberi maklumat yang memohon dilindungi sebagai saksi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menekankan dua perkara mengenainya.
Pertama, kata beliau, seseorang itu tidak boleh mendedahkan maklumat kesalahan rasuah yang diketahuinya kepada umum dan kemudian memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat.
Ini kerana, menurutnya lagi, pemberi maklumat mungkin telah mendedahkan identitinya dengan tindakan sedemikian tetapi maklumat tersebut belum disahkan lagi kebenarannya.
Perkara kedua, kata Azam, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya adalah tidak layak untuk memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Berdasarkan kedua-dua penjelasan yang diberikan Azam itu dan melihat kepada situasi yang telah berlaku dalam isu dakwaan rasuah mengaitkan beberapa Adun di Sabah, adalah jelas dan tidak diragui lagi bahawa individu yang mendakwa dirinya pemberi maklumat itu tidak layak sama sekali mendapat pertimbangan daripada SPRM untuk dilindungi sebagai pemberi maklumat.
Hakikatnya, pemberi maklumat itu bukan saja telah mendedahkan maklumat yang dimilikinya kepada umum secara terbuka, bahkan rakaman audio yang didakwa perbincangan rasuah itu sudah bersepah-sepah di media sosial, bahkan beliau juga dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah yang didedahkan itu.
Walaupun sebagaimana dinyatakan dalam suratnya kepada Yang Di-Pertuan Agong, pemberi maklumat itu menyebut tindakannya memberi rasuah adalah kerana tiada pilihan lain, persoalan utama ialah beliau hanya mendedahkan rasuah berlaku setelah projek yang hajatinya gagal diperolehi.
“Patik dengan suci hati mengatakan dan bersumpah mengatakan patik tiada pilihan dalam keadaan tertekan dan terpaksa memberi rasuah kepada lapan orang YB tersebut, di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC tersebut telah mengesahkan kepada patik bahawa lesen-lesen hanya akan dikeluarkan sekiranya terdapat YB di belakangnya dan bagi syarikat yang tiada YB di belakangnya, walaupun mendapat scoring yang paling tinggi, tidak akan dipertimbangkan untuk memperoleh lesen tersebut,” demikian antara isi surat pemberi maklumat tersebut yang dihantarnya kepada Agong.
Maka dalam hal ini, semuanya sudah jelas sekarang iaitu pemberi maklumat tidak layak mendapat perlindungan sebagai seorang saksi.
Beliau kini wajar ditahan untuk disiasat dan jika terbukti memberi rasuah, tindakan hendaklah diambil tanpa kompromi.
Begitu juga dengan Adun-Adun terbabit, kiranya terbukti mereka menerima rasuah, tindakan hendaklah juga segera diambil.
SPRM tidak patut berlengah lagi dan siasatan hendaklah dimulakan dengan tindakan pertama ialah menahan dan seterusnya menyiasat individu yang mendakwa sebagai pemberi maklumat itu.
Percayalah, selepas itu segala-galanya akan lebih mudah untuk dibongkar.
Pemberi rasuah dan penerima rasuah sama-sama telah melakukan kesalahan.
Tetapi, sudah tentu tiada apa-apa yang akan bergerak jika langkah pertama tidak segera dimulakan. – ShahbudinHusin 16November2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/11/sprm-tak-patut-berlengah-mulakan-siasatan-pemberi-maklumat-sah-tidak-layak-diberi-perlindungan/