KES HASUTAN & PERLEKEH AGONG & SULTANSANUSI TIADA HARAPAN UNTUK MENANG?



Mahkamah Sesyen menetapkan 18 Jan hingga 23 Feb tahun depan sebagai tarikh perbicaraan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor atas dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan pada Jul lalu. Hakim Nor Rajiah Mat Zin menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh terbabit pada prosiding hari ini. “Dua pertuduhan akan dibicarakan sekali di mahkamah ini dan 12 hari untuk perbicaraan kes,” katanya. Terdahulu, pada prosiding di hadapan hakim Osman Affendi Mohd Shalleh yang sebelum ini mendengar satu daripada pertuduhan, beliau membenarkan permohonan pendakwaan meminta Sanusi dibicarakan di hadapan Nor Rajiah. Pada 18 Jul lalu, Sanusi didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948, namun hari ini pendakwaan memohonnya dipinda kepada Seksyen 4 (1) (b) akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sanusi didakwa mengeluarkan hasutan antaranya berkaitan pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam ceramah di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 11 Julai lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar. Sementara itu, Sanusi diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Wan Rohimi Wan Daud. Pasukan pendakwaan memaklumkan pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 10 saksi dalam perbicaraan selama 12 hari itu.