PH SAJAKAH PERLU MINTA MAAF, UMNO TAK NAK MINTA MAAF JUGA KE


1 October 2024


Kalau mahu dibuat persamaan, UMNO sekarang ini tak ubah seperti lelaki yang mudah terangsang dan mudah pula klimaksnya.


Baru menang dua PRK – Nenggiri dan Mahkota – sudah bertebaran kenyataan mengatakan sokongan orang Melayu telah kembali semula kepada parti itu.


Lantaran seronok dengan andaian itu, seorang pemimpin UMNO Johor iaitu Timbalan Speaker Dewan Negara, Nur Jazlan Mohamad, belum pun sempat  lagi Adun Mahkota yang baru, Syed Hussein Syed Abdullah mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangannya, lantas mahu PH meminta maaf kepada parti itu.


Katanya, dengan kembalinya sokongan orang Melayu kepada UMNO kini, PH tiada pilihan lain selain perlu bergantung kepada sokongan parti itu untuk memastikannya kekal sebagai kerajaan.


Sehubungan itu, sarannya, PH harus meminta maaf secara terbuka kepada UMNO atas serangan selama berdekad lamanya kepada parti itu yang kini diketuai Ahmad Zahid Hamidi.


“PH kena sedar dan mungkin kena minta maaf kepada UMNO atas segala tohmahan, tuduhan dan persepsi yang telah mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan UMNO dipandang kotor oleh pengundi.


“Hari ini, suka atau tidak, PH amat memerlukan UMNO.


“Tanpa undi Melayu yang dibawa UMNO, PH boleh lupakan harapan untuk kekal berkuasa,” katanya lagi.


Kepada Nur Jazlan, pandang kiri kanan dululah sebelum mahu berkata-kata.


Apakah PH saja yang memerlukan UMNO dan UMNO langsung tidak memerlukan PH?


Apa nasib UMNO hari ini kalau selepas PRU15 lalu, sebagaimana dicadangkan oleh Agong ketika itu, PN sedia bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan?


Selain itu, apakah PH saja yang perlu meminta maaf kepada UMNO dan UMNO tidak perlu meminta maaf kepada PH?


Lupakah Nur Jazlan bahawa UMNO selama puluhan tahun juga lebih teruk mengecam dan menyerang PH, termasuk isu-isu peribadi Anwar Ibrahim ketika BN berkuasa sebelum ini?


Tak nak minta maaf juga ke?


Dalam pada itu, sebagai makluman Nur Jazlan, untuk mengatakan sokongan Melayu telah kembali kepada UMNO hanya semata-mata parti itu baru menang di Nenggiri dan Mahkota, ia masih jauh daripada realiti yang sebenar.


Baru dengar berita Fazura nak bercerai, ia belum membolehkan sesiapa pun untuk pergi ke kedai emas membeli cincin untuk meminang.


Untuk membuktikan sama ada UMNO benar-benar telah diterima semula oleh orang Melayu atau tidak, perlu ada beberapa PRK lagi sebagai ujian penentunya.


Kalah dah menang, misalnya enam atau tujuh PRK, barulah selepas itu boleh mendabik dada mengatakan sokongan orang Melayu telah kembali.


Tetapi, itu pun tidak semestinya tepat seratus-peratus juga sebab sebelum PRU14 dahulu, walaupun UMNO menang dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi UMNO tetap hilang kuasa akhirnya.


Hakikatnya, banyak faktor perlu diambil kira dan dianalisa sebelum UMNO mahu mendabik dada mengatakan mereka kini telah berjaya mendakap kembali sokongan Melayu.


Jangan stim awal sangat, nanti klimaks pun cepat juga.


Namun, jika terbukti akhirnya sokongan Melayu benar-benar telah kembali kepada UMNO sebelum PRU16 nanti dan parti itu berjaya memenangi lebih banyak kerusi berbanding PKR, atas nama kepentingan Melayu, ia dengan sendirinya akan membuka jalan untuk Zahid Hamidi menuntut kerusi Perdana Menteri.pula.


Ertinya, PKR dan Anwar kena hati-hati juga. – ShahbudinHusin 01Oktober2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/10/01/janganlah-umno-cepat-klimaks.html