Saya telah mengacarakan Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM) yang julung-julung kali diadakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebuah badan yang tidak asing lagi yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat sejak 75 tahun yang lalu.
Saya telah mengilhamkan forum ini tatkala mula menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Lantas ruang wacana secara terbuka buat pertama kalinya ini memilih tema “Peralihan Tenaga Untuk Kesejahteraan Masa depan Negara”.
Forum ini merupakan satu agenda dan platform bagi mewujud serta mencambah budaya wacana yang sihat yang bertujuan mencungkil, mempersoal, menyanggah pelbagai dasar yang cuba dijelmakan Kerajaan dengan hujah dan kritikan yang terbuka dan membina, selain menjadi ruang kerjasama di kalangan dan antara Kerajaan, ketua-ketua GLC/ GLIC, para ilmuwan dan akademik, pihak industri, institusi pendidikan tinggi, pakar-pakar bidang dan tokoh usahawan. Forum ini inshaAllah akan diadakan secara berkala, bulanan dengan kerjasama lima (5) lagi GLC sebagai permulaan iaitu PETRONAS, Digicelcom, Maybank, Khazanah Nasional dan Perodua yang masing-masing dengan topik berkaitan Ekonomi, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Fintech, Kemiskinan dan Pengangkutan Mampan.
Saya mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan ini dan hampir menjawab semua persoalan yang dibangkitkan, termasuk mengenai keadaan dan permasalahan kadar upah yang rendah serta usaha Kerajaan dalam mendepaninya. Sebagai contoh, kita ada ramai anak muda di kalangan hufaz, namun ia tidak harus terhenti di aspek pengahafalan semata. Malah, Kerajaan harus menggalakkan mereka untuk berusaha menguasai bidang-bidang lain yang kritikal dan mendesak sebagai memaknai kerangka besar Kerajaan mengenai penyerapan pelajar-pelajar maahad tahfiz ke dalam TVET. Justeru, di sini Kerajaan akan dapat melonjak prospek masa depan anak-anak tahfiz dan juga sedikit sebanyak, buat masa sekarang, membantu mereka mendapat kadar upah yang lebih baik.
Sekalung penghargaan kepada pihak TNB sebagai GLC pertama yang menjayakan Forum Ilmuan Malaysia MADANI malam tadi. Harapan saya adalah agar jalinan kerjasama daripada semua pihak yang hadir ke forum ini dapat diteruskan dengan lebih kukuh demi rakyat terbanyak.
#MalaysiaMADANI