Zamri Kadir
Hampir 30 tahun lalu, beliau (YAB Dato Seri DiRaja Anwar Ibrahim) pernah mengadakan forum ilmuan seperti ini ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sewaktu itu dinamakan Forum Ilmuan Malaysia (FIM) dalam bentuk diskusi dengan pelbagai kumpulan bagi mendapatkan ilmu, pandangan dan input terbaik untuk menguruskan negara.
Mereka yang hadir terdiri dari kalangan pemikir, teknorat, birokrat, pengendali khazanah ekonomi negara, pembuat dasar dan kalangan pempengaruh.
Rentetan daripada itu, hari ini atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mewujudkan kembali forum ini dan dijenamakan sebagai Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM). Masih mengekalkan konsep yang lebih kurang sama, beliau lebih suka perbincangan ini diadakan secara santai, bersahaja tetapi yang paling penting matlamat dan objektifnya tercapai.
Malah paling menarik ialah beliau sendiri yang mengendalikan majlis ilmu ini. Beliau membuka ruang untuk berinteraksi secara terbuka.
Ketika saya melontarkan idea mengembalikan FIM ini kepada beliau, lantas beliau terus mengarahkan saya untuk memulakannya kembali.
Beliau adalah “man of ideas”. Harapannya adalah mahu memastikan supaya idea-idea baru dapat digarap, kritikan membina terhadap pembaikan dasar dapat dilakukan, dan wawasan beliau dapat difahami dan dihadam oleh khalayak.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil inisiatif mengkoordinasi serta merencana program FIM ini bersama dengan beberapa syarikat-syarikat utama kerajaan.
Alhamdulillah, dalam tempoh tidak sampai tiga minggu, majlis malam ini mengumpulkan lebih kurang 200 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kali ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak selaku tuan rumah bersama.
Perdana Menteri sendiri bertindak selaku moderator dan saya bersama Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak bin Abdul Majid serta Tan Sri Noor Azlan Ghazali diberi peluang membentangkan sedikit tentang pendidikan tinggi, peralihan tenaga dan juga ekonomi.
Selepas itu, para hadirin diberi peluang untuk berinteraksi dan bertanya apa saja soalan kepada Perdana Menteri dan jawapan segera diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.
Rata-rata yang hadir memberi reaksi positif dan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan akan ada siri FIM seterusnya secara bulanan dan akan dikelolakan oleh GLC lain seperti Petronas, Khazanah dan lain-lain pula. Insya-Allah kita akan terus mengadakan program ilmiah seperti ini dengan hasrat berkongsi pandangan untuk terus memajukan negara dalam tradisi Madani iaitu tradisi ilmu.
Terima kasih kepada yang hadir termasuk rakan-rakan kabinet, YB Steven Sim Chee Keong 沈志强, YB Fadhlina Sidek, YB Dr Zaliha Mustafa, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad dan YB Dato’ Mustapha Sakmud.
#ForumIlmuanMalaysiaMadani
#FIM
#doczam