Ramadan cakupi persoalan etika meluas, bukan sekadar ibadah khusus

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu umat Islam menghayati pengajaran di bulan Ramadan bukan sekadar melibatkan ibadah khusus malah mencakupi soal akhlak lebih luas seperti menyantuni golongan miskin dan membicarakan soal keadilan.



Perdana Menteri berkata bulan suci tersebut merupakan satu pusat pengajian atau madrasah yang membolehkan umat Islam meningkatkan keimanan, disiplin dan akhlak.



"Saya lontarkan betapa pentingnya umat Islam untuk menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.



"Adalah penting untuk kita menghayati madrasah Ramadan sebagai wahana menyucikan jiwa dan menghentikan fitnah serta kerja yang sia-sia dan yang tidak membawa manfaat, selain menggarap “the larger ethical question of Ramadan” yakni tentang kebebasan, keadilan dan kesaksamaan," katanya dalam hantaran di Facebook.



Beliau mengulas mengenai ucapannya dalam perhimpunan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.



Terdahulu dalam ucapannya Perdana Menteri menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau tidak mengambil berat soal ibadah apabila berbicara hal-hal Ramadan berkaitan kesedaran, masalah kemiskinan, soal disiplin dan tatakelola.



"Sebab itu ada kupasan alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih luas, ia tentunya disiplin diri, benda yang (kita) boleh makan, benda kita tak boleh makan, benda harus yang kita boleh buat, tapi kita tak buat.



"Kekuatan induk hadapi rintahan dan percubaan, kemudian ia juga harus mengetuk pintu hati nurani kita untuk berbicarakan hal-hal yang terkait dengan Ramadan, maknanya usaha yang lebih untuk menambah sedekah amal jariah dan masing-masing yang punyai sedikit keupayaan untuk menyantuni masyarakat kurang bernasib baik,” katanya.



Anwar yang baru pulang daripada lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman berkata sekiranya ada semangat Ramadan dalam kehidupan, masalah negara akan lebih terkawal seterusnya kejayaan itu dapat disampaikan kepada dunia luar.



"Islam tidak boleh lari dari hukum yang tetap tapi ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin?



"Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah? Maknanya penghayatan tidak ada," kata beliau.



Sementara itu, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya tidak melakukan pembaziran pada bulan Ramadan.

 

No comments: