4,752 lokaliti belum mendaftar PADU, Townhall tambah bilangan pendaftar



 


Oleh: Abdullah Zaid



Sebanyak 4,752 lokaliti masih tidak mempunyai sebarang pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU), mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.



Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sedaya upaya meluaskan penyertaan rakyat Malaysia mendaftar PADU sebelum dijangka berakhir pada 31 Mac ini.



Katanya, pihak kementerian ketika ini tertumpu di lokaliti seperti Perumahan Awam, Kondominium, Pangsapuri, Rumah Kos Rendah, Kuarters, Rumah Kedai, Rumah Air dan Panjang.



"Dalam konteks pelaksanaan PADU, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti.



"Ia bagi memastikan semua kawasan diliputi, mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.



Tambah Rafizi, penduduk di lokaliti dikenalpasti itu adalah rata-rata daripada golongan B40 dan B60.



"Penduduk di lokaliti ini berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang.



"Oleh itu, tumpuan Kementerian dalam tempoh dua minggu ini adalah untuk mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutamanya meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian," ujarnya.



Bagi memberi penerangan lanjut, Rafizi berkata, satu sesi Townhall akan diadakan pada 23 Mac ini di Pusat Konvensyen MBSA bagi memberi penerangan mengenai manfaat PADU.



"Ia juga akan mendapatkan kerjasama pihak berkaitan membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat, terutamanya di lokaliti Selangor dan Wilayah Persekutuan.



"Sesi ini akan dihadiri oleh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar serta YDP, Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB)," jelasnya.



Dalam pada itu, Rafizi turut meminta Kerajaan Negeri mengambil langkah yang sama, mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari lokaliti berisiko tinggi keciciran, untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut.



"Jika anda tidak mendaftar dan mengemaskini data dalam PADU, kerajaan akan menggunakan data yang didapati dari jabatan-jabatan kerajaan sedia ada yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini.



"Daftar dan kemaskini data anda di PADU sebelum 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan. Anda mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan sebelum ini, kini walau peluang itu telah dibuka, oleh kerana data anda tidak dikemaskini, anda mungkin terus tercicir," kata Rafizi.



PADU yang telah dilancarkan pada 2 Januari 2024 adalah antara komitmen kerajaan untuk membangunkan dan mewujudkan satu pangkalan data yang akan menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi Kerajaan dalam membuat keputusan berpandukan data yang tepat, disamping menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.



Selain itu, PADU juga akan dapat membantu kerajaan untuk mengukuhkan kemampanan fiskal negara serta memberi ruang untuk melaksanakan reformasi fiskal bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

 

No comments: