Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) menunjukkan bahawa terdapat 3,111 aduan mengenai kandungan yang dianggap
sebagai berita palsu telah direkodkan bagi tempoh tahun 2020 hingga 31 Mei
2022.
Kebanyakan penyebaran berita palsu tersebut yang berbaur provokasi
menggunakan platform atas talian ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15).
Antara berita palsu yang turut tersebar sehingga kini melibatkan
kes qazaf, isu ini bukan sahaja menzalimi masyarakat biasa malah pemimpin
negara turut dilibatkan dengan tuduhan yang jijik.
Perbezaan enakmen jenayah
syariah
Majoriti fuqaha’ daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat
adalah sama dengan zina dari segi hukum, justeru secara definisi qazaf meliputi
kesalahan menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.
Mohd Fauzi Fadzil
Namun dalam konteks undang-undang syariah di Malaysia terdapat
perbezaan antara negeri-negeri terkait enakmen jenayah syariah berkenaan qazaf,
perbezaan ini wujud kerana setiap negeri mempunyai bidang kuasa tersendiri
berkenaan undang-undang syariah memandangkan perkara yang berkaitan Agama Islam
adalah tertakluk di bawah Senarai Negeri menurut Perlembagaan Persekutuan.
Jika dililihat secara terperinci berkenaan definisi qazaf dalam
undang-undang jenayah syariah di setiap negeri, secara jelasnya hanya lima buah
negeri sahaja yang memperakui kesalahan qazaf meliputi isu liwat.
Negeri Selangor adalah antara negeri yang memperuntukkan hukuman
qazaf hanya merangkumi tuduhan zina (liwat tidak termasuk).
Kekurangan dalam peruntukkan undang-undang Seksyen 36 Enakmen
Jenayah Syariah Selangor 1995 menyebabkan ada pihak yang secara berani
menyebarkan tuduhan qazaf yang berkaitan dengan liwat secara berleluasa kerana
wujud kelompongan untuk mendakwa mereka di mahkamah syariah di Negeri Selangor.
Pinda Seksyen 36 Enakmen
Jenayah Syariah
Isu ini menjadi dilema terhadap tuduhan tidak berasas yang menimpa
sesetengah pemimpin negara apabila mahkamah syariah selaku badan kehakiman
terikat oleh undang-undang yang dikuatkuasakan.
Mahkamah Rayuan Selangor terpaksa bersetuju dengan tafsiran qazaf
yang hanya terhad untuk pertuduhan zina sahaja berdasarkan enakmen negeri.
Namun Mahkamah Rayuan Selangor membuat pengiktirafan kehakiman bahawa zaman
mutakhir ini semakin banyak berlakunya perbuatan menuduh orang lain melakukan
perbuatan liwat.
Maka sudah tiba masanya pemerintah dan badan perundangan Negeri
Selangor meminda Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 bagi
membolehkan seseorang yang menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat dituduh
di mahkamah syariah.
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Selangor turut
bersetuju dengan pandangan tersebut malah isu ini telah diangkat di dalam
Muktamar Nasional (MUKNAS) WADAH ke-17 pada 8-10 Disember 2023 bertempat di The
Everly Putrajaya - UKM Bangi.
Usul yang diangkat supaya budaya fitnah dan qazaf dibendung dengan
memperketatkan undang-undang telah dipersetujui oleh para perwakilan WADAH dari
seluruh negara.
Malah muktamar tersebut bersetuju untuk mewujudkan sebuah
jawatankuasa bagi mengkaji sebuah cadangan untuk diangkat kepada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menyelaraskan undang-undang
jenayah syariah berkaitan kesalahan qazaf.
WADAH Selangor dalam isu ini menyokong penuh cadangan tersebut dan
berharap jenayah qazaf dapat dibendung secara berkesan di Negeri Selangor Darul
Ehsan.
_____________________________________________________________________________
Penulis merupakan Penolong
Setiausaha Negeri Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Selangor
Darul Ehsan