Selangor serap kos RM40 juta, kurangkan beban pelarasan tarif air



 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan Selangor akan menanggung peningkatan kos bagi lebih satu juta rakyat susulan pelarasan tarif air mulai bulan depan meliputi 285,673 akaun yang merupakan penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).



Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu membolehkan setiap isi rumah yang menerima manfaat SADE sebelum ini sebanyak anggaran RM11.40 sebulan meningkat kepada RM13 sebulan.



"Kos tanggungan kerajaan negeri akan meningkat daripada RM31.8 juta kepada anggaran RM37.3 juta setahun.



"Kerajaan Negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.



Semalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan oleh bermula pada 1 Februari 2024.



Secara keseluruhan, kata Amirudin tanggungan kos kepada kerajaan negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta setahun.

Jelasnya jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat.



Kata Amirudin pelarasan tarif air pertama sejak 18 tahun lalu iaitu pada tahun 2006, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan termasuk SPAN dengan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan pelarasan tarif air kepada rakyat negeri Selangor.



Jelasnya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di negara ini yang menyampaikan air bersih kepada lebih 8 juta rakyat meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik yang merangkumi perusahaan kecil dan sederhana sehingga kepada perusahaan multinasional.



Jelas Amirudin susulan pelarasan tarif itu caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50.



"Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 meter padu (m3), kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada RM0.65 bermula daripada 0 meter padu sehingga 20 meter padu.



"Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu dan ke bawah setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksimum sekitar RM1.60 sebulan," katanya.

Kata beliau kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan ini akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor mengelakkan isu paip bocor serta paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300km setahun bermula tahun ini.



Tambahnya pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030 termasuk melipatgandakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah.



"Tahap kualiti air yang disampaikan kepada rakyat dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan dengan penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air," katanya.



Kerajaan Negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma SADE untuk melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma.

 

No comments: