PATI TIDUR BERPARANG DICEKUP IMIGRESEN"










KUANTAN - Sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang berhadapan detik cemas apabila mendapati seorang lelaki warga asing sedang tidur sambil mendakap parang panjang ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Chendering dekat sini awal pagi tadi. 

Lelaki warga Kemboja berusia 36 tahun tersebut terpinga-pinga dan  cuba bertindak agresif setelah dikejut oleh pegawai penguatkuasa. Bagaimanapun suspek berjaya ditenangkan sebelum parang tersebut dirampas dan suspek ditangkap kemudiannya. 

Pemeriksaan mendapati beliau telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah.

Beliau yang tidur dalam buaian di luar rumah mengaku sering tidur dalam keadaan begitu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi serangan binatang berbisa selain memudahkannya untuk melarikan diri jika kehadiran pihak berkuasa. Suspek ditangkap bersama 12 orang lagi warga Kemboja yang tinggal di perkampungan tersebut atas kesalahan yang sama.

Selain itu, operasi yang dianggotai oleh 17 orang pegawai itu turut membuat serbuan di 14 premis di sekitar daerah Cameron Highlands dan memeriksa seramai 54 orang warga asing. Keseluruhannya seramai 36 warga asing telah ditangkap sepanjang operasi melibatkan 13 orang warga Kemboja, Thailand (7), Indonesia (6), Vietnam (4), Bangladesh (3), Myanmar (2) dan Pakistan (1) yang telah melakukan  kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan berusia antara 4 hingga 50 tahun itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut. 

JIM Pahang akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang melindungi PATI.

Jabatan Imigresen Malaysia
Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Depot Imigresen Kemayan Pahang
Friends Of Immigration.
Pahang Media

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang.