SIRI 2 - PARTI JADI KERAJAAN, TAPI PEGAWAI KERAJAAN JADI TUAN


Sebelum ini saya ada menulis sebuah artikel berkenaan dua golongan yang sepatutnya gembira bila PH berjaya menjadi kerajaan, tetapi hakikat yang berlaku tidak sedemikian adanya.


Dalam siri 1 artikel berkenaan, golongan pertama yang tidak dihargai itu ialah pendokong media parti dan mereka yang aktif dalam media sosial, media bebas serta media alternatif yang sentiasa bersimpati dan tidak pernah sama sekali memisahkan diri mereka daripada PH dalam menempuhi krikil-kritil tajam di semua fasa perjuangannya sejak dulu hinggalah sekarang.


Artikel penuhnya boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2023/12/23/siri-1-media-arus-perdana-media-yang-tak-setia.html


Kali ini, sebagai sambungan untuk siri 2, saya ingin menyentuh pula nasib golongan kedua yang juga tidak begitu dihargai setelah PH menjadi kerajaan iaitu orang-orang parti, khususnya PKR yang bermandi peluh, keringat dan darah selama hampir 25 tahun menatang ghairah perjuangan yang tidak pernah padam untuk melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.


Bulan-bulan awal Anwar menjadi Perdana Menteri memang dapat dilihat kegembiraan yang bukan kepalang di kalangan orang PH, khususnya PKR.


Tetapi kegembiraan itu kemudian perlahan-lahan bertukar menjadi cerita duka lara kerana kalau di zaman Nabi dahulu, ada harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagi selepas kemenangan diperolehi, tetapi kini ramai yang mengeluh lantaran seperti ternampak tiada sama sekali peluang untuk merasai apa itu nikmat menjadi kerajaan.


Dalam banyak keadaan, terutama di kementerian-kementerian, kebanyakan menteri dikatakan sama ada enggan menggunakan kuasa atau tidak tahu menggunakan kuasa, mereka sebaliknya menyerahkan banyak perkara kepada pegawai-pegawai kerajaan menentukannya.


Bukan saja soal projek dan peluang perniagaan hampir diserahkan sepenuhnya mandat kepada pegawai kerajaan membuat keputusan, bahkan dalam soal kecil seperti memohon pertukaran kakitangan kerajaan dan masuk sekolah pun diserahkan kepada mereka kuasa penentuannya.


Ramai yang mengadu, selain sebahagian mereka yang berjawatan makin sukar dihubungi dan tentulah lagi sukar ditemui, jawapan yang sering diterima apabila berpeluang bercakap atau meminta tolong ialah – ohh, itu kuasa pegawai kerajaan.


Tidak seperti era BN atau PN di mana kuasa politik itu sering tidak menghampakan orang-orang parti yang meminta pertolongan, di zaman PH menerajui kerajaan ini seolah-olah menteri, timbalan menteri dan segala macam pegawai keliling menteri di kementerian-kementerian tiada kuasa sedemikian rupa.


Sudahlah lantikan-lantikan politik dalam pelbagai agensi dan GLC yang sepatutnya diberi kepada orang politik tidak dilakukan dengan sewajarnya, sebaliknya diberi kepada golongan profesional atau penjawat awam, lebih malang lagi kuasa yang patut dipegang dan dimanfaat oleh pemimpin politik pun diserahkan kepada pegawai kerajaan juga.


Terbaru yang menjadi kebimbangan ialah Ketua Pengarah J-Kom, sebuah agensi yang berperanan untuk politik menjadi perkhabaran yang meluas akan diserahkan kepada pegawai kerajaan untuk menerajuinya.


Meskipun Zahid Hamidi meletakkan sepenuhnya orang politik daripada UMNO mengetuai GLC dan agensi di bawah kementerian yang diterajuinya, menteri-menteri PH dan PKR terlihat masih tidak sedia berbuat demikian.


Saya tidak pasti sama ada PH ini sedar atau tidak bahawa perumpamaan paling mudah adalah begini – kalau kerajaan itu umpama sebuah kereta, pemimpin politik yang mengetuai kementerian adalah pemegang sterengnya, manakala kakitangan awam adalah enjinnya.


Sebagai pemegang stereng, pemimpin politik sepatutnya tahu ke mana destinasi hendak dituju dan apa yang harus dilakukan dalam memastikan kenderaan yang dipandu berjaya sampai ke destinasi yang dituju dengan sempurna.


Di sinilah pentingnya kuasa digunakan dan bukankah ketika berkempen dalam pilihan raya dahulu, perkara yang sering diminta ialah agar diberi kuasa?


Kenapa setelah beroleh kuasa, ia hendak diserahkan pula kepada pegawai kerajaan?


Tidakkah mereka sedar bahawa yang perlu berhadapan dengan rakyat atau pengundi setiap lima tahun sekali bila diadakan pilihan raya ialah parti dan orang politik, bukan kakitangan kerajaan?


Pegawai kerajaan tidak berdepan pahit getir berkempen dalam pilihan raya, malah mereka boleh saja pergi bercuti ke luar negara sepanjang musim kempen diadakan.


Penting juga untuk disedari, dalam PRU yang lalu, undi pegawai kerajaan bukan pun memihak kepada PH atau BN, tetapi kepada gabungan lain yang kini menjadi pembangkang.


Lagi pun, sistem demokrasi kita, parti yang perlumenguasai kerajaan, bukan orang parti harus mengalah kepada pegawai kerajaan.


Bila orang parti diberi kedudukan, jawatan, senang mendapat peluang perniagaan dan mempunyai ekonomi yang kukuh, yang untung akhirnya ialah parti juga kerana politik ini seperti candu – lagi berduit, lagi banyak mereka sedia berbelanja untuk parti.


Kalau orang parti sengsara dan tidur pun berselimutkan air mata duka, manakala kuasa diserahkan kepada pegawai kerajaan yang dijadikan tuan, siapa yang mahu menolong parti ketika pilihan raya diadakan?


Bersama ketiadaan peluang memperbaiki kehidupan walaupun setelah parti menjadi kerajaan, kesan paling buruk dalam jangka panjang yang barangkali tidak begitu disedari ialah ia secara langsung membunuh minat generasi muda, khususya anak-anak pemimpin sendiri untuk menyertai parti.


Mereka akan berfikir, kalau ibu bapa mereka pun kekal susah walau siang malam berjuang untuk parti, apa manfaatnya jika mereka menyambung perjuangan dan menjadi ahli?


Secara khusus, kalau semua ini tidak segera diubah dan ditangani, selagi ada Anwar, barangkali aura beliau bolehlah terus dijual untuk kesinambungan perjuangan, namun bagaimana keadaannya setelah ketiadaan beliau nanti? – ShahbudinHusin 18/01/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/18/siri-2-parti-jadi-kerajaan-tapi-pegawai-kerajaan-jadi-tuan.html



No comments: