Tak perlu ‘perjanjian damai’, segera bantu rakyat; penganalisis ulas gencatan politik pasca PRN.Kerajaan perpaduan kukuh dan sedang melaksanakan pembahruan.

 Kartini Aboo Talib berkata kerajaan Anwar Ibrahim mendapat sokongan mencukupi di Parlimen.


Bersih mencadangkan kerajaan dan pembangkang berdamai selepas proses pengundian pilihan raya di enam negeri,Sabtu lalu.

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat “perjanjian damai” di antara kerajaan dan pembangkang tidak diperlukan kerana pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendapat sokongan mencukupi di Parlimen setakat ini.

Kartini Aboo Talib berkata tiada juga negeri diisytihar zon konflik atau perang, walaupun Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada referendum rakyat terhadap kerajaan susulan keputusan PRN Sabtu lalu yang menyaksikannya menguasai 146 daripada 245 kerusi.

PRN menyaksikan Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan kekal ditadbir Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) manakala PN mempertahankan Kedah, Terengganu, serta Kelantan.

“Buat masa ini semua pihak harus mula bekerja dan menjalankan tanggungjawab, rakyat letih dengan pilihan raya dan mendengar pemimpin tidak habis-habis berebut kuasa,” kata Kartini dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan badan pemantau pilihan raya, Bersih supaya kerajaan dan pembangkang kembali berunding melaksanakan perjanjian damai, bagi manfaat rakyat selepas berakhirnya PRN enam negeri.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat PN dijangka tidak “menawarkan” diri untuk menandatangani perjanjian damai itu malah akan berterusan menyerang kerajaan Anwar, dengan anggapan “mereka sudah menang besar pada PRN lalu”.

Serangan berterusan itu, menurutnya, akan menyebabkan tangan kerajaan persekutuan terikat kerana terpaksa menepis serangan pembangkang, yang dijangka lebih hebat dan panas selepas ini.

“Akhirnya rakyat yang rugi kerana masing-masing tidak menjalankan tugas hakiki mereka,” katanya.

Sementara itu, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata politik matang boleh dimulakan dengan memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang yang akhirnya digunakan untuk manfaat rakyat.

“Jangan disekat-sekat kerana rakyat yang menderita, bagi peruntukan sama rata antara wakil kerajaan dan pembangkang…dari situ rakyat akan menilai,” katanya.

Menurut pemerhati politik bebas G Manimaran, Anwar sebenarnya tidak perlu mengalah dengan PN berikutan sokongan Ahli Parlimen kepada blok kerajaan ketika ini tetap kukuh dengan melepasi dua pertiga, melibatkan wakil rakyat gabungan PH-BN-GPS-GRS.

Katanya, PN wajar menghormati titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua pihak bersama membina dan memulihkan negara daripada pandemik Covid-19, dengan tidak lagi berterusan “berpolitiking”.

“Jangan jadikan kerajaan semasa sebagai ‘tebusan’ hanya kerana kepentingan sempit dan kepentingan diri,” kata Manimaran.

No comments: