Jika pemimpin beri gambaran bergolak, mana mungkin kestabilan dikembalikan?


 Pemimpin politik pembangkang diingatkan supaya jangan memberi gambaran politik Malaysia sedang bergolak ketika keyakinan pelabur antarabangasa sedang memulih.


Menurut Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi 6 negeri sepatutnya menutup gejolak politik di negara ini kerana telah lengkap pilihanraya membentuk kerajaan pusat serta negeri.


Maka kerajaan yang dilantik atas kehendak rakyat, katanya, perlu menjalankan tugas masing masing di peringkat Persekutuan atau negeri.


"PRN 2023 sewajarnya menjadi noktah kepada sebarang usaha mengganggu-gugat kestabilan politik negara. Rakyat sudah memilih, kini semua wakil rakyat tidak kira dalam Kerajaan mahupun di blok Pembangkang kena menerima keberadaan dan keabsahan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri yang sudah dan bakal dibentuk.

Syahredzan Johan

"Kestabilan politik adalah penting untuk negara kita yang masih melalui fasa pemulihan selepas bertahun dibelenggu ketidakstabilan politik dan impak pandemik Covid-19.


"Namun, sekiranya pemimpin-pemimpin politik sendiri memberi gambaran tentang pergolakan politik berterusan, mana mungkin keyakinan dapat dikembalikan kepada kestabilan politik negara?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Tegas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu, adalah sangat penting rakyat Malaysia mencontohi negara maju yang politiknya tidak terus bergolak sehingga bertahun tahun selepas pilihanraya.


Katanya, pergolakan seperti itu tidak produktif dan hanya akan mengganggu pertumbuhan ekonomi serta keselamatan sosial.


"Pemimpin dan penggerak parti politik seharusnya menghentikan segala bentuk provokasi dan fitnah bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat termasuk kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab mengenai penutupan sekolah agama di Selangor.


"Pihak berkuasa harus memainkan peranan dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan sebarang percubaan untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam dapat dibendung dan dihalang.


"Marilah sama-sama kita membina semula negara ini, sebagai Kerajaan yang berwawasan dan prihatin juga Pembangkang yang bertanggungjawab sebagai penyemak dan imbang.


"Dalam bulan kemerdekaan ini, marilah kita bersatu sebagai rakyat Malaysia, bukan berpecah sebagai penyokong parti.


"Rakyat sudah memilih, kini masa buat kerja, bukan masa buat onar," katanya sinis.


Terkini pembangkang cuba mencipta pergolakan politik baharu dengan menaja himpunan untuk menjatuhkan kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan.


Sekiranya hal itu berjaya maka mereka berharap kerajaan pusat akan bertukar dan Malaysia masuk semula ke dalam lingkaran kebinasaan seperti penggal lepas apabila dilantik 3 Perdana Menteri dalam satu penggal.