Residensi Madani tidak sisih golongan pendapatan rendah







 Perumahan Madani yang mula dibangun di ibu kota Kuala Lumpur akan mempunyai konsep baharu yang tidak menyisihkan golongan berpendapatan rendah.


Hal itu dibicarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani Desa Tasik, Sungai Besi, pagi tadi.


"Kota Madani, maknanya sebahagian besar rakyat terutama golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan.


"Pihak kerajaan harus memastikan perumahan besar mesti ada perumahan sampingan untuk rakyat bawah. Siapa yang akan kendalikan pembangunan itu?


"(Adakah) projek skala besar itu tanggungajwab syarikat, rumah rakyat tanggungjawab kerajaan? Tidak boleh begitu. Jadi rumah Madani kita gunakan win win situation. Projek besar dibuat syarikat tetapi letakkan syarat. Tak mungkin kita letak syarat tekan syarikat tak untung. Tak ada syarikat mahu. Jadi kita pastikan (projek perumahan Madani) ada keuntungan," katanya.


Bersama dengan kediaman yang dihuni oleh pelbagai golongan pekerja itu, katanya, tempat menjamu selera bagi golongan bawahan juga perlu dibina sebaik mungkin.


Kata PM, tidak mungkin golongan berpendapatan sederhana atau rendah pergi ke restoran mewah. Perlu ada gerai gerai makanan murah tetapi dibina dengan konsep yang selesa serta menarik minat bukan sahaja penduduk di residensi, malah pelancong untuk singgah.


"Bukan semua yang menduduki kawasan perumahan (bertingkat) tinggi itu berpendapatan tinggi, pelbagai peringkat pekerjaannya, ada berpendapatn rendah. Dia tidak mampu makan di restoran besar sebab itu gerai dan warung untuk rakyat mesti disediakan dengan tahap keindahan (yang baik).


"Kalau tengok gerai di Kuala Lumpur, maka letak di Wilayah tetapi gerai itu lebih kurang suasana di Cherok Tok Kun (luar bandar)," katanya.


Selain itu, PM juga membayangkan beberapa penjimatan boleh dilakukan dalam kerajaan beliau yang anti rasuah pada ketika ini.


Katanya, pihak pemaju sebelum ini memahami terdapat 'kaedah tertentu' untuk mendapat kelulusan projek dan melibatkan pemberian sejumlah wang kepada para kakitangan kerajaan atau orang politik.


Dengan amalan anti rasuah, katanya wang yang dijimatkan oleh pemaju boleh dipulangkan untuk mensubsidi pembinaan kediaman golongan berpendapatan rendah.