PRN enam negeri sudah pun berakhir dan semua orang setuju bahawa keputusannya tidak cukup ampuh untuk menggugat kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ini bermakna, Anwar boleh mempertahankan kerajaan perpaduan yang sedang diterajuinya kini hingga PRU16 akan datang.
Tetapi, berdasarkan keputusan PRN di enam negeri itu, apakah jangkaan paling mudah untuk masa depan Anwar seterusnya?
Secara mudah, kalau kita bertanya kepada 10 orang, hampir semuanya sepakat mengatakan keputusan PRN itu meletakkan masa depan Anwar dalam bahaya.
Untuk mudah difahami lagi, daripada 10 orang yang ditanya itu, paling minima enam daripadanya pasti dengan berani mengatakan Anwar dan kerajaan perpaduan akan tamat riwayatnya pada PRU16 nanti.
Apa yang nyata, keputusan PRN lepas menunjukkan PH gagal mendapat sokongan pengundi Melayu yang memadai atau mencukupi untuk memenangi lebih banyak kerusi di enam-enam negeri terbabit.
Kemenangan kerusi PH lebih banyak disumbangkan oleh kesatuan sokongan daripada pengundi bukan Melayu semata-mata.
Dalam keadaan sedemikian, lebih malang lagi kerana UMNO yang merupakan rakan kongsi PH dan diharapkan dapat menambah sokongan, hampir secara total ditolak oleh pengundi-pengundi Melayu sendiri.
Dengan pengundi Melayu lebih memilih PN, khususnya Pas, terbentang kini ialah keberadaan UMNO tidak memberi nilai tambah dan tidak juga memberi tambah nilai kepada PH serta kerajaan perpaduan.
Apakah sekarang ini Anwar, pimpinan PH, BN dan kerajaan perpaduan turut menyedari hakikat yang sedang ditunjukkan Tuhan di depan mata sebelum tibanya PRU16?
Apakah plan B PH untuk menambah sokongan pengundi Melayu melalui kekuatan mereka sendiri atau berasakan sudah cukup dengan sokongan pengundi bukan Melayu saja?
Kalau benar-benar disedari, mengapa setelah hampir seminggu sejak keputusan PRN diumumkan, masih tiada apa-apa tindakbalas bimbang yang kedengaran ditunjukkan?
Kenapa semua senyap sunyi dan tiada sebarang mesyuarat khas parti diadakan?
Bila lagi Anwar hendak melakukan perubahan, rombakan dan menukar mana-mana pemegang jawatan dalam kerajaan, termasuk menteri, yang sejak lapan bulan lalu didapati gagal berfungsi dengan baik?
Bilakah juga mahu menggerakkan perancangan untuk menambah baik komunikasi, penyebaran maklumat, menjawab, menangkis serta melakukan serangan terhadap fitnah-fitnah yang berleluasa di media sosial terhadap kerajaan perpaduan?
Apakah agensi tertentu dan mereka yang terkait dengan komunikasi dan penyampaian maklumat kepada rakyat, di mana sebahagian besarnya dicop gagal oleh kalangan yang dekat dengan PH, PKR dan Anwar sendiri, masih mahu dikekalkan bergentayangan dengan jawatan masing-masing selepas keputusan PRN yang sepatutnya memberi pengajaran?
Atau masing-masing yang berada dalam kerajaan sudah berpuas hati dengan keputusan PRN itu iaitu Anwar selaku Perdana Menteri akhirnya tidak tergugat dan kerajaan perpaduan masih mampu bertahan selama empat tahun lagi?
Ataukah semua orang tidak peduli lagi apa nak jadi pada PRU seterusnya lantaran berasa sudah memadai dapat kekal bertahan hingga PRU16 di mana masing-masing sudah merasa jadi menteri, timbalan menteri, nikmat mendapat pelbagai jawatan dan kemudian tersedia pula pencen lumayan?
Ingatlah, jika semua masih ada rasa cinta untuk mempertahankan kerajaan perpaduan ini, tempoh kira-kira empat tahun lagi sebelum tibanya PRU16 bukanlah jangka masa yang lama.
Pejam celik pejam celik, menerpalah detik itu di depan mata kita semua.
Tidak segera melakukan sesuatu samalah seperti seorang yang sakit yang hanya menunggu detik kematian dengan berbaring di katil saja sepanjang masa.
Kepada PKR dan PH, apakah mereka juga mahu Anwar jadi Perdana Menteri selama sepenggal saja?
Selepas Anwar, tidak mahukah mereka melihat pemimpin PKR lain turut berpeluang jadi Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 17/08/2023.
https://shahbudindotcom.net/