Serangan pembangkang Perikatan Nasional (PN) ke atas kejatuhan
nilai matawang Ringgit Malaysia sejak sebulan kebelakangan ini amat
mengelirukan rakyat dan mengherotkan persepsi terhadap kekukuhan ekonomi
negara.
Menurut Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Nor Adam, serangan
tidak bertanggungjawab PN dan mempersendakan Kerajaan Perpaduan kerana kononnya
gagal mentadbir negara itu sebenarnya tidak berlandaskan fakta.
Tegas beliau, matawang Ringgit hanya lemah berdepan Dollar Amerika
Syarikat (AS) dan fenomena kejatuhan seperti itu turut dialami negara maju yang
lain.
"Betul matawang kita jatuh. Kena faham mengapa matawang kita
jatuh. Sebab Amerika Syarikat naikkan OPR (dasar semalaman kadar faedah). Orang
(AS) yang dulu simpan duit di luar balik bawa duit dia labur ke AS.
"Nak buat apa letak (duit) di luar kalau letak dalam negara
kadar faedahnya lebih tinggi.
"Betul nilai ringgit jatuh 7.5% berbanding Dollar ikut data 2
Julai lalu. Tetapi Yen Jepun juga jatuh 19.2%, Pound UK jatuh 14.4%, Euro jatuh
11.7%.
"Yuan China jatuh 8.7%, Peso Filipina 9.3%, Baht Thailand
8.7% dan Korea Won jatuh 13.7%," katanya dalam Majlis Penerangan Isu isu
Semasa Anjuran Umno Bahagian Shah Alam, malam tadi.
Oleh itu, Lokman mahu rakyat menilai apakah wajar Kerajaan
Perpaduan dipersalahkan dengan hanya berpandukan pengukuhan matawang Dollar AS,
sedangkan nilai Ringgit sejak beberapa minggu lalu juga mengukuh berbanding
matawang utama dunia.
Katanya, Ringgit telah mengukuh 14.2% berbanding Yen, 8.2%
berbanding Pound Sterling, Euro 4.5%, New Zealand Dollar 3.9%, Won 7.2%, Yuan
1.1% dan Baht 1.4%.
Malah, kata Lokman, kejatuhan nilai Ringgit sebenarnya boleh
menguntungkan pengeksport Malaysia. Namun hal itu, menurut beliau, perlu
diterangkan secara menyeluruh oleh Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya
Negeri agar rakyat tidak dikelirukan sekali lagi.
"Apa kelebihan bila Ringgit jatuh? Saya beri 2 contoh yang
cukup besar. Pertama pengeksport boleh eksport dengan harga lebih murah. Kalau
eksport harga sama, maka akan dapat keuntungan berlipat kali ganda.
"Kedua kalau nak pergi bercuti, kita akan pergi Thailand atau
Indonesia sebab duit kita besar. Pergi Thailand tidaklah berapa besar tetapi
mampu.
"Dunia luar pula, mereka nampak berbelanja di Malaysia rendah
maka mereka akan datang ke sini. Mereka akan berbelanja dan menambah pendapatan
pengusaha hotel kita, syarikat pelancongan dan segala macam
(perkhidmatan)," katanya lagi.