Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa kerjasama antara Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad sudah dijangkakan untuk menjaga kepentingan masing-masing termasuk harta mereka.
Perdana Menteri berkata ia berbeza dengan kerajaan perpaduan pimpinannya yang berusaha dan bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan rakyat.
“Itu bukan perkara baharu. Kita tahu kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk pertahankan cara dan harta mereka.
“Kita bertanggungjawab untuk selamatkan negara dan rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa.
Beliau mengulas pertemuan dua bekas perdana menteri itu dua hari lalu, tiga tahun selepas kedua-duanya “bersengketa” angkara Langkah Sheraton yang menjatuhkan Mahathir dari kedudukannya.
Mahathir dan Muhyiddin bersetuju untuk saling mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN 12 Ogos depan.
Sementara itu, Anwar berkata beliau menyambut baik komitmen Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran untuk kekal setia mempertahankan kerajaan perpaduan walaupun parti mereka tidak bertanding pada PRN.
“Kedua-duanya ada menghubungi saya dan menyatakan peringkat ini mereka tak akan menyertai (PRN) dan beri sokongan, saya fikir ini dalam ruang kuasa BN (Barisan Nasional).
“Tetapi saya ucap terima kasih di atas kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kerajaan perpaduan,” katanya.
Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan kepada proses pengukuhan parti.
Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com