Presiden Bersatu itu sepatutnya
mengambil kira keadaan keseluruhan ekonomi, yang ‘pada asasnya kukuh’, kata
Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail
menasihatkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin agar menumpukan perhatian pada
usaha memperkukuh partinya.
PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ditegur
atas kritikan terpilihnya terhadap kerajaan semasa, dengan Setiausaha Agung PKR
Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muhyiddin sepatutnya mempunyai pandangan
yang lebih menyeluruh.
Saifuddin, seorang menteri dalam kerajaan Anwar Ibrahim
berkata, Muhyiddin tidak patut hanya fokus kepada kemerosotan ringgit, kadar
faedah yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup ketika melabel kerajaan Anwar
sebagai “tidak boleh diharap”.
Muhyiddin sepatutnya mengambil kira keadaan keseluruhan
ekonomi, yang “pada asasnya kukuh”, kata Saifuddin.
“Muhyiddin wajar melihat aspek mengurus ekonomi secara
menyeluruh … kadar inflasi, kadar pengangguran, imbangan dagangan, kestabilan
politik,” katanya kepada FMT.
Saifuddin berkata, kerajaan Anwar melaksanakan kawalan
ekonomi yang berkesan, dengan dasar menjurus ke arah kebajikan, walaupun
mewarisi hutang yang ditanggung sejak Muhyiddin menjadi perdana menteri (dari
2020 hingga 2022).
“Muhyiddin semoleknya beri ruang untuk Anwar dan kerajaan
perpaduan mentadbir,” kata Saifuddin.
Semalam, Muhyiddin mengkritik Anwar dengan berkata, perdana
menteri itu tidak menguruskan ekonomi dengan baik, walaupun meminta 100 hari
untuk berbuat demikian. Anwar kini telah berkuasa selama tujuh bulan.
Muhyiddin berkata, kerajaan tidak menemui cara untuk
menangani peningkatan kos sara hidup, dengan ramai orang telah terjerumus ke
dalam kelompok berpendapatan rendah sejak wabak melanda.
Beliau turut mendakwa kerajaan Anwar tidak kukuh, sambil
mengulangi spekulasi pembangkang tentang rancangan menjatuhkan kerajaan.
Saifuddin membidas Muhyiddin dengan berkata, Muhyiddin patut
menumpukan perhatian pada usaha “membina kekuatan partinya”, bukan bergantung
selama-lamanya kepada PAS, rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional.
“Sebagai pengerusi PN, mengharap kekuatan parti lain adalah
satu tanda kelemahan,” kata Saifuddin.