Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekadnya
memerangi rasuah di negara ini bagi memulihkan kembali Malaysia.
Pada ucapan pada Kenduri Qurban di Masjid Jamek An-Nur Guar
Perahu, Seberang Perai Tengah, Permatang Pauh petang tadi Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu menegaskan tiada pihak akan terlepas sekiranya melakukan
rasuah bagi mengayakan diri atau keluarga mereka.
Tambahnya, beliau sendiri sedia memberi kerjasama untuk disiasat
sekiranya didapati terlibat dengan rasuah.
"Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan
Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak
berkuasa)," katanya sambil turut menegaskan tidak akan bertolak ansur
dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan
mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.
Mengulas siasatan pihak berkuasa terhadap beberapa individu yang
disyaki terbabit rasuah baru-baru ini Anwar menegaskan, beliau tidak pernah
mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat
mana-mana individu semata-mata untuk membalas dendam.
Selaku perdana menteri jelasnya aahan diberikan agar semua badan
penguatkuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas
dan berani.
"Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak
arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah.
"Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi
apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam).
"Kalau lakukannya maknanya kita serupa sahaja (dengan
pimpinan dulu)," tambah Anwar.