Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada program Korban Perdana
Madani 1444H di kawasan perniagaan Arowana Permatang Pauh hari ini. - Foto
Bernama
PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menyangkal dakwaan kerajaan persekutuan menindas mana-mana negeri dalam
soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), di Kedah.
Anwar berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang
memerlukan kajian yang teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia melibatkan
beberapa aspek penting terutamanya keselamatan negara selain perlu melalui
prosedur dan peraturan yang tertentu.
"Perlu tanya TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia),
boleh lepas atau tidak zon penerbangan ... ada yang kata Tan Sri Syed Mokhtar
(Albukhary) akan bayar (projek pembinaan KXP) dan saya tanya dia kalau nak buat
kenapa tak beritahu saya. Syed Mokhtar jawab kepada saya, abang, saya tiada
cadangan nak buat lapangan terbang, ada banyak kerja dah.
Lapangan terbang ini bukan boleh bagi senang-senang nak
buat...ia sentuh soal keselamatan negara, kalau nak jadi pemimpin kena reti
sikit, kena ngaji lebih daripada orang lain,” kata Anwar pada program Minum
Petang bersama penduduk Kampung Sama Gagah, dekat sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad
Sanusi Md Nor dilapor berkata, Anwar harus mengetepikan 'kepentingan
peribadinya' dan mempercepatkan kelulusan pembinaan KXP.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau telah berusaha sedaya
upaya untuk merealisasikan projek itu yang terletak di dalam perbandaran Kedah
Aerotropolis. - Bernama