Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai hala tuju ekonomi.
Menurut Rafizi, pertumbuhan ekonomi yang sihat sejak beberapa
bulan lalu, selain kadar inflasi yang mereda membuktikan kerajaan berjaya
memangkin ekonomi negara ke arah lebih baik.
"Kadar inflasi kita juga terus mereda, dari empat peratus
pada November 2022 ke 2.8 peratus pada Mei 2023.
"Selepas pengumuman Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan
Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang
kini sedang dimuktamadkan, jadi macam mana pula Perikatan Nasional (PN) boleh
kata ekonomi kita tiada hala tuju," katanya menerusi ciapan di Twitter.
Rafizi turut menjelaskan, Malaysia turut menikmati pertumbuhan
ekonomi sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 berbanding Indonesia (lima
peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).
Ia jelasnya adalah lebih baik sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir.
Dalam pada Rafizi berkata, pihaknya sedang menumpukan usaha untuk
menaikkan gaji rakyat menerusi dasar gaji progresif supaya boleh membantu
rakyat menangani kos sara hidup.
Beliau turut mengakui, pelaksanaan dasar gaji progresif tetap
berdepan cabaran namun yakin ia mampu menjadi realiti.
"Kalau kita ada niat baik untuk bantu rakyat dengan rancangan
yang tepat, kita mampu laksanakannya (gaji progresif)," ujarnya.