HANYA ANWAR BERI BANTUAN KEWANGAN TANGGUNG HUTANG FELDA




RIDUAN SHAMSUDIN

Hutang peneroka Felda didakwa dihapuskan oleh bekas Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin pada 2021 hanya berupa penghapusan kira kira dalam akaun peneroka, namun beban kewangan terpaksa dipikul oleh Felda sebanyak RM8.3 bilion.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil, penghapusan hutang tersebut telah mengganggu aliran kewangan Felda sehinggalah Kerajaan Persekutuan menunaikan janji memberi bantuan kewangan pada 2023.

“Pada 2021 Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji untuk hapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

“Hutang ini (memang) telah dihapuskan (di penyata akaun peneroka) oleh Felda, dan bukannya (oleh) Kerajaan Persekutuan,” kata Fahmi dalam satu siaran media.

Sebaliknya, menurut Menteri Komunikasi dan Digital itu, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada 2023 menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) antara Kerajaaan Persekutuan dan Felda bagi tujuan menyuntik dana kepada Felda

Dengan dana tersebut maka Felda berupaya meneruskan tanggungjawabnya membayar sukuk yang dipinjam di pasaran kewangan pada 2022 lalu untuk urusan menyerap hutang peneroka dan pengambilalihan FGV.

“Pada 26 Jun 2023, Datuk Seri Anwar telah tandatangan FSRA

“Apa itu FSRA? Ia adalah Assignment for Financial Service Reserve Account yang melibatkan bantuan kewangan kepada Felda sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

“Kesimpulannya hutang Felda tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan hanya sehingga 26 Jun 2023 (selepas FSRA ditandatangani) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.