SEKARANG MASA PALING SESUAI BONGKAR KEKABURAN VIDEO HAZIQ

 

Dua hari lalu, saya menulis artikel berkenaan PN yang hampir pasti meletakkan Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar bagi gabungan itu dalam PRN akan datang ini.

Beliau yang merupakan Pengerusi PN Selangor dan pernah menjadi Menteri Besar negeri itu sebelum ini diputuskan sebagai calon Menteri Besar kerana diyakini atas kewibawaannya untuk merampas negeri berkenaan daripada PH.

Malah, Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin amat berkeyakinan terhadap kemampuan Azmin dan mahu beliau menghadiahkan Selangor kepada gabungan itu sebagai lonjakan untuk menghadapi PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Dalam perkiraan yang mudah, jika Selangor dapat dirampas, maka lebih mudahlah gabungan PH/BN dan Anwar Ibrahim dijatuhkan pada PRU16 nanti.

Namun demikian, meski Azmin dikatakan diputuskan sebagai calon Menteri Besar dan bakal bertanding di Dun Hulu Kelang, nama beliau tidak akan diletakkan sebagai poster boy.

Alasan PN tidak berbuat demikian adalah kerana bimbang isu video Haziq akan dimainkan semula serta disebarkan secara meluas kepada pengundi.

Dengan tidak menjadikan Azmin sebagai poster boy, bahkan tiada sesiapa diletakkan sebagai poster boy, kepercayaan PN ialah bukan saja tiada alasan untuk video Haziq dimainkan semula, malah tiada keperluan untuk isu-isu spesifik berkaitan mana-mana calon dijadikan modal kempen.

Sedemikian itu, tidak menamakan sesiapa sebagai poster boy adalah pilihan yang dikira paling selamat bagi PN.

Soalnya, benarkah ia benar-benar selamat?

Bagaimana jika isu video Haziq tetap akan dimainkan dan dijadikan modal kempen, tidak kira dalam apa keadaan sekali pun, ketika kempen dalam PRN Selangor nanti?

Sebagaimana kita semua sedia maklum, isu video Haziq tidak pernah sampai ke peringkat pendakwaan berikutan Peguam Negara sebelum ini mengkategotikan video berkenaan sebagai kabur, tidak jelas serta mempunyai resolusi yang rendah.

Begitu pun, keputusan Peguam Negara itu membuatkan ramai tidak puas hati kerana video dan gambar berkenaan yang tersebar di pelbagai platform media sosial sebelum ini didapati begitu terang dan tidak memerlukan cermin mata pun untuk mengenalpasti wajah pelakunya.

Tambahan lagi, Haziq Aziz, salah seorang yang dipercayai pelaku dalam video itu turut telah membuat pengakuan bersumpah pada 12 Jun 2019 mengaku dirinya adalah individu dalam perbuatan sumbang itu.

Katanya, video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan dan ketika itu umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan.

“Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama seorang menteri dalam video itu.

“Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa PRK Sandakan di sebuah di Hotel Four Points,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya.

Pada 2019 ketika kejadian itu dipercayai berlaku, Perdana Menteri ialah Tun Mahathir dan Azmin merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Selepas PH tumbang pada 2020 dan kemudian Perdana Menteri bertukar kepada Mahiaddin, seterusnya kepada Ismail Sabri Yaakon, isu video Haziq terus senyap tanpa khabar berita, selain Azmin terus dikekalkan sebagai salah seorang menteri kabinet.

Salah seorang pemimpin UMNO, Lokman Noor Adam pada suatu ketika sampai pergi ke Indonesia dan London untuk membuat ujian forensik bagi memastikan ketulenan serta padanan pelaku dalam video berkenaan dengan individu yang dikaitkan.

Dalam laporan ujian yang diperolehinya, Lokman memaklumkan ianya adalah tulen serta pelakunya adalah sepadan dengan Azmin yang dikaitkan, seterusnya beliau menggesa agar Tun Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri untuk segera memecat Azmin kerana didakwa terlibat dalam perlakuan semburit.

Nah…sekarang bukan saja PH sudah menerajui kerajaan, malah UMNO yang merupakan parti yang menaungi Lokman juga sudah bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Kepada Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan perpaduan sekarang – tidak mahukah segera membongkar kekaburan video Haziq itu?

Atau beliau masih selesa dengan dapatan siasatan sebelum ini yang mendapati video berkenaan adalah kabur dan kurang jelas?

Dalam hal ini, saya teringat kata-kata seorang pemimpin PKR yang saya temui sebelum PRU15 dulu yang berkata, jika PH berjaya menjadi kerajaan dan beliau menang sebagai Ahli Parlimen, jawatan yang akan dimintanya daripada Anwar ialah Menteri Dalam Negeri.

“Tugas pertama saya nanti ialah untuk menangkap Azmin,” ujarnya penuh yakin.

Sayang sekali pemimpin berkenaan tidak menang, kalau tidak, kita tentunya tak pening lagi dengan video Haziq ini. – ShahbudinHusin 22/06/2023.


No comments: