Reformasi Dewan Negara: Bukan lagi rubber stamp
Reformasi Dewan Negara yang dicadangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara baharu Tan Sri Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar seharusnya menjadi kenyataan pada sesi persidangan akan datang.
Bagi Ahli Dewan Negara yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dewan berkenaan tidak boleh lagi terus berada pada persepsi lama rakyat yang menganggapnya sebagai rubber stamp kepada keputusan yang telah dibuat di Dewan Rakyat.
Katanya, Dewan Tinggi Parlimen itu seharusnya mempunyai taring bagi membincangkan Rang Undang Undang yang mahu diluluskan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Tadi ketika Tan Sri Speaker yang baru dilantik Dr Wan Junaidi menyebut perlunya satu reformasi Dewan Negara. Jadi saya kira dengan adanya reformasi ini akan menghilangkan tanggapan Dewan Negara ini hanya rubber stamp sahaja. Ia perlu diangkat sebagai selayaknya dewan tertinggi atau upper house yang memainkan peranan seperti Parlimen tetapi untuk memastikan kelulusan sebuah akta yang dibahas di parlimen dibuat dengan licin dan mendalam supaya parlimen Dewan Negara ini menjalankan tugasnya.
“Termasuklah etika berbahas, peraturan dewan, termasuk juga kaedah kita mengemaskinikan, bukan sahaja dewan tetapi pentadbiran di dalam parlimen Dewan Negara.
“Saya rasa semua itu termasuk dalam reformasi Dewan Negara. Akhirnya diharapkan akan menghilangkan tanggapan rubber stamp dan kami akan mengangkat Dewan Negara jauh lebih daripada sekadar tanggapan itu,” katanya kepada Suara Kedailan usai majlis angkat sumpah.
Dr Mujahid mengangkat sumpah hari ini sebagai Senator Dewan Negara di atas kuota negeri Perak.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada sidang DUN Perak pada 25 Mei lalu yang melantiknya sebagai wakil ke Dewan Negara.
“Saya ucap terima kasih kepada DUN Perak yang telah melantik saya dan hari ini saya menjejak kaki untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dan ini satu penghargaan kepada orang Perak.
“Seperti tugasan mana mana senator, bila kita angkat sumpah, kita memastikan menjunjung Perlembagaan atas semangat tanah air
“Saya berharap dengan izin Allah dapat menjalankan tugas sebaik baik mungkin bagi memenuhi amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Kejayaan melantik Mujahid sebagai senator pada Mei lalu sebenarnya mengakhiri percubaan Ketua Pembangkang DUN Perak Razman Zakaria yang sebelum sidang DUN berspekulasi Kerajaan Perpaduan Perak goyang berikutan beberapa ADUN penyokong kerajaan negeri telah menemui beliau.
Razman dicabar untuk menunjukkan bilangan pada hari mengundi melantik Ahli Dewan Negara. Bagaimanapun Mujahid berjaya dilantik sebagai wakil kerajaan Perak pada pengundian 25 Mei berkenaan.