KALAU NAJIB DIBERI PENGAMPUNAN, APAKAH DENDA RM210 JUTA KIRA ‘DIAMPUNKAN’ SEKALI?



Susulan pengampunan Najib Razak tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 28 April lalu, dilaporkan perkara tersebut akan diangkat semula pada suatu tarikh dan masa lain yang bersesuaian.


Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan pengampunan Najib tidak dibincangkan ketika mesyuarat pada 28 April lalu di Istana Negara.


“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.


“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” kata Khairul Dzaimee yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam kenyataannya.


Berdasarkan kenyataan di atas, isu pengampunan Najib masih lagi terbuka dan tidak terus tertutup di sebalik ia tidak dibincangkan pada 28 April lalu.


Difahamkan juga, Lembaga Pengampunan bermesyuarat sebanyak tiga kali dalam setahun.


Boleh jadi ia mungkin diangkat untuk dibincangkan pada mesyuarat yang berikutnya atau pada masa lain yang sesuai.


Menoleh ke belakang, sebelum Najib dijatuhi hukuman penjara, beberapa personaliti politik negara ini juga pernah menerima hukuman penjara yang kemudian diampunkan kesalahan mereka.


Antaranya ialah bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris; bekas Menteri Belia dan Sukan, Mokhtar Hashim dan PMX sekarang, Anwar Ibrahim.


Tetapi, semua mereka diberi pengampunan setelah masing-masing menjalani lebih separuh daripada hukuman penjara yang dijatuhkan.


Harun Idris dihukum penjara selama enam tahun pada 1977 dan diberi pengampunan diraja pada 1981.


Mokhtar Hashim dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh Speaker DUN Negeri Sembilan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1982.


Hukuman itu kemudian ditukar kepada penjara seumur hidup oada 1984 dan diberi pengampunan diraja pada 1991.


Anwar pula dihukum penjara selama lima tahun pada 2015 dan diberi pengampunan diraja pada 2018 setelah PH berjaya menumbangkan BN pada PRU di tahun tersebut.


Dalam kes semua di atas – Harun Idris, Mokhtar Hashim dan Anwar – hukuman yang mereka terima ialah penjara semata-mata.


Bila diberi pengampunan diraja, bermakna mereka berhak hidup bebas seperti rakyat biasa.


Berbeza dengan Najib, selain dihukum penjara selama 12 tahun, beliau juga didenda sebanyak RM210 juta.


Tidak kira bila pengampunan bakal diterimanya – tahun ini, tahun depan atau selepas PRU16 akan datang – jika beliau diberi pengampunan diraja, apakah ia melibatkan hukuman penjaranya saja atau denda RM210 juta itu kira “diampunkan” sekali?


Atau bolehkah hukuman penjara 12 tahun saja diberi pengampunan, tetapi denda RM210 juta masih wajib dijelaskan kepada kantung kewangan negara, sesuai dengan skandal 1MDB yang membawa beban dan sengsara kepada rakyat seluruhnya? – ShahbudinHusin 03/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: