TUKAR KERAJAAN TIDAK MUSTAHIL TAPI TERSANGAT-SANGAT SUKAR, MUNGKIN BOLEH JADI KENYATAAN JIKA PEMIMPIN SARAWAK DIANGKAT CALON PM


Sekali lagi menumbangkan kerajaan menjadi juadah perbualan seluruh negara di ketika rakyat secara umumnya masih seronok menikmati lemang, ketupat dan rendang dalam jamuan rumah terbuka yang diadakan di sana sini.


Walaupun kerajaan perpaduan sekarang boleh dikira stabil dengan sokongan majoriti dua pertiga atau sejumlah 148 Ahli-Ahli Parlimen, ia nampaknya tidak menyekat agenda jatuh-menjatuhkan daripada terus dirancakkan.


Begitu juga dengan adanya Akta Lompat Parti yang menghalang Ahli Parlimen memberi sokongan berbeza daripada pendirian parti dan menjaja Akuan Bersumpah atau SD tidak lagi diterima, melainkan perlu mengosongkan kerusi Parlinen masing-masing, semua itu tidak menghalang keghairahan untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri bernama Anwar Ibrahim.


Apa lagi dalam sehari dua lalu, di sebalik derasnya cakap-cakap kononnya kerajaan bakal tumbang pada bila-bila masa, sekumpulan pemimpin Pas yang diketuai Hadi Awang sendiri telah berkunjung ke kediaman Tun Mahathir Mohamad untuk berhari raya dengan menandatangani Proklamasi Melayu sebagai hidangan utamanya.


Kunjungan pimpinan Pas terhadap Tun Mahathir itu sekaligus menghangatkan lagi isu pertukaran kerajaan, meskipun bekas Perdana Menteri itu secara realistiknya sudah tiada taring kerana kalah sehingga hilang deposit pada PRU15 yang lalu.


Berkedudukan sebagai Ahli Parlimen atau tidak, yang semua orang tahu ialah Tun Mahathir tetap mempunyai iltizam yang tidak berubah untuk menjatuhkan Anwar.


Panasnya isu menjatuhkan kerajaan itu sehingga Sultan Johor turut bertitah dengan mengingatkan – cukup-cukuplah berbuat demikian serta mahu semua Ahli Parlimen lebih memikirkan masa depan negara berbanding soal berebut kuasa.


Sekali lagi, meskipun sudah kerapkali ditanyakan – persoalannya bolehkah kerajaan dijatuhkan dalam keadaan berkuatkuasanya Akta Lompat Parti sekarang ini?


Pada 29 Mac lalu, saya ada menulis berkenaan hal yang sama dan boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2023/03/29/awassswalau-ada-akta-lompat-parti-kerajaan-rupanya-masih-boleh-dijatuhkan.html


Secara umumnya, menjatuhkan kerajaan bukanlah sesuatu yang mustahil, walaupun dalam keadaan adanya Akta Lompat Parti berperanan sebagai benteng penahan kepada ribut serta taufan segala jenis nafsu dan keinginan.


Hakikatnya, Akta Lompat Parti masih ada kelompongan dan tidak merupakan benteng penahan yang benar-benar kebal yang menjadikan kerajaan tidak boleh dijatuhkan sama sekali.


Cuma, ia menjadikan usaha menjatuhkan kerajaan tersangat-sangat sukar dan boleh jadi kos untuk melihatnya sebagai realiti juga teramat-amat mahal.


Pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan mestilah sedia membuat tawaran yang luar biasa serta dalam masa yang sama, mestilah juga ada sejumlah Ahli Parlimen yang mempunyai keberanian luar biasa untuk membuat tindakan yang sama sekali di luar jangkaan sesiapa.


Persoalan lain ialah siapakah calon Perdana Menteri yang ingin diketengahkan untuk menggantikan Anwar?


Dalam keadaan sekarang, PN sebagai blok utama pembangkang yang difahami secara semulajadi sebagai kelompok nombor satu mahu menjatuhkan kerajaan mempunyai 74 Ahli Parlimen, manakala blok kerajaan disokong oleh seranai 148 Ahli Parlimen.


Untuk menjadikan PN sebagai daripada pembangkang kepada kerajaan, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 38 peralihan sokongan Ahli Parlimen yang sekarang berada dalam kerajaan bagi memungkinkan sebuah kerajaan majoriti mudah 122 sokongan Ahli Parlimen dapat dibentuk.


Bagaimana untuk memperolehi angka tersebut?


Oleh kerana ada Akta Lompat Parti, peralihan sokongan Ahli Parlimen secara individu tidak lagi terpakai, sebaliknya mesti parti yang membuat keputusan tersebut.


Dalam hal ini, mahu tidak mahu, sebagai permulaan, PN mesti mampu memancing dan meyakinkan GPS di Sarawak (23 Ahli Parlimen) dan GPS (6 Ahli Parlimen) serta Warisan (3 Ahli Parlimen) di Sabah untuk mengumumkan penarikan sokongan mereka daripada kerajaan perpaduan.


Bermakna, jika itu berjaya dilakukan, matematiknya ialah 74+23+6+3 iaitu blok pembangkang sudah mempunyai sokongan 106 Ahli Parlimen.


Selebihnya, ia hanya memerlukan tindakan berani dan luar biasa daripada sejumlah Ahli Parlimen UMNO dan BN untuk mencukupkan angka menjadi 112 bagi membolehkan sebuah kerajaan baru dapat dibentuk.


Soalnya, apakah tawaran yang boleh membuat tiga parti daripada Borneo itu tertarik untuk beralih menyokong PN?


Sekarang ini, selain GPS dan GRS beroleh jawatan menteri dan timbalan menteri, Fadilah Yusof daripada GPS juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk mewakili Malaysia Timur.


Hanya wakil Warisan yang tidak diberi apa-apa jawatan dalam kabinet.


Sudah tentu dalam hal ini, ia lebih mungkin menjadi kenyataan jika wakil Borneo – GPS, GRS atau Warisan – ditawarkan untuk diangkat calon Perdana Menteri yang baru.


Jika PN ingin menjatuhkan kerajaan dan sekadar menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga kepada wakil Malaysia Timur, keadaan pasti tidak berubah kerana ia tiada bezanya dengan kedudukan yang mereka nikmati sekarang.


Diberi “menu” jawatan Perdana Menteri adalah satu-satunya pilihan yang mungkin mampu mendorong wujud kesatuan daripada parti-parti Malaysia Timur itu untuk sepakat berpindah meja makan.


Persoalannya, sediakah PN yang didalamnya ada Mahiaddin Md Yasin, Hamzah Zainuddin dan Hadi Awang untuk menyokong dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada wakil Malaysia Timur?


Mahukah juga Hamzah misalnya yang mewakili PN yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen seramai 74 orang tetapi sekadar diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri daripada calon GPS yang hanya mempunyai 23 Ahli Parlimen?


Dalam keadaan politik Melayu di Semenanjung sentiasa berpecah, satu persoalan lain ialah jika jawatan Perdana Menteri sudah diberi kepada wakil Malaysia Timur, bilakah jawatan itu boleh kembali semula kepada Semenanjung?


Sekali lagi, sementara banyak persoalan lagi boleh dibangkitkan, ia memerlukan suatu tolak ansur yang luar biasa jika benar-benar mahu menukar kerajaan.


Tanpa tawaran yang luar biasa, tanpa tolak ansur yang luar biasa dan tanpa keberanian luar biasa sejumlah Ahli Parlimen BN, apa juga usaha untuk menumbangkan kerajaan pasti sukar menjadi kenyataan.


Ia tidak lebih sekadar sedap dibuat modal untuk Ahli-Ahli Parlimen berangan-angan untuk kembali jadi menteri semula. – ShahbudinHusin 04/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: