Skim baru pinjaman perumahan untuk golongan tiada slip gaji
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diperkenal bagi mengantikan Program Skim Rumah Pertamaku (SRP) diyakini mampu memberi manfaat lebih baik kepada golongan sasar.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda ketika mengulas kebimbangan berhubung langkah memansuhkan SRP berkata, pelaksanaan SJKP sebenarnya membuka peluang lebih besar untuk rakyat memiliki rumah tanpa menjelaskan bayaran pendahuluan, terutama kepada golongan yang tiada penyata pendapatan atau slip gaji.
“Sebenarnya kerajaan telah memperkenalkan SJKP dan skim ini sebenarnya tidak banyak berbeza dengan SRP.
“Kerajaan melihat sekarang ini ramai dalam kalangan anak muda mereka tiada ‘payslip’ (slip gaji) jadi mereka sukar untuk membuat pinjaman perumahan.
“Kerajaan melihat itu isu yang besar dan skim ini mempermudahkan pembeli membeli rumah pertama,” kata Mohd Hasbie ketika menjadi tetamu pada Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, semalam.
Minggu lalu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan bersetuju meneruskan pembiayaan di bawah SJKP dengan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion nilai pinjaman.
Melalui skim dibawah Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan tahun lalu itu, kementerian menjangkakan lebih 20,000 bakal peminjam akan mendapat manfaat melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad.
Sementara itu jelas Mohd Hasbie, antara golongan yang dapat manfaat besar dari skim baharu itu adalah pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil yang sebelum ini berdepan kesukaran membuat pinjaman perumahan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji tetap.