Semua hospital diarah berjaga-jaga susulan khabar angin mogok doktor



 

Semua kemudahan kesihatan seluruh negara diarah berada dalam 'mod berjaga-jaga' susulan kemungkinan berlaku mogok dalam kalangan doktor kontrak.



Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, arahan itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat berjalan lancar seperti biasa.



Bagi tujuan itu jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan pemantauan di semua kemudahan kesihatan seluruh negara.



"Dari segi pelan kecemasan, kita buat juga pemantauan dan pengarah kesihatan negeri serta hospital dalam mod berjaga-jaga.



"KKM ada mengeluarkan peringatan kepada doktor dan mengingatkan mereka mengenai kepentingan perkhidmatan kesihatan," katanya dipetik BH.



Sebelum ini satu kumpulan dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia berkata, lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok bermula 3-5 April dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit.



Tindakan itu sebagai membantah “sistem tidak adil dan gaji rendah” dalam sektor penjagaan kesihatan awam.



Bagaimanapun, tidak dinyatakan akan berlaku sebarang perhimpunan.



Sementara itu, Dr Zaliha menegaskan beliau memahami kesukaran dialami golongan berkenaan, namun berpandangan mogok bukan penyelesaiannya kepada masalah itu.



Mengulas sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor kontrak terlibat mogok, Zaliha berkata, mereka tertakluk kepada integriti sebagai penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.

 

No comments: