NAJIB TIDAK SEWAJARNYA DIAMPUNKAN SEGERA, MELAINKAN JIKA SETELAH MENJALANI 1/3 ATAU SEPARUH HUKUMAN PENJARA


Walaupun peguam Najib Razak mungkin akan memohon semakin kehakiman yang kedua bagi membebaskan bekas Perdana Menteri itu, tetapi harus kita akui, mengharapkan keputusan yang berbeza daripadanya tidak semudah seperti menukar mentol yang sudah terbakar.

Dengan keputusan majoriti terkumpul 13-1 dalam kes SRC International yang dihadapinya setakat ini, semakan kali kedua jika dipohon, kebarangkalian ia ditolak juga adalah tinggi.

Saya sudah banyak kali menulis sejak lama dulu lagi, fakta yang jelas dalam kes Najib itu ialah ada kemasukan wang ke dalam akaun bank peribadinya dan kemudian wang itu pula dibelanjakan dengan antaranya untuk membeli-belah di luar negara.

Cubaan menggunakan isu teknikal tidak memadam hakikat bahawa kesalahan memang telah dibuktikan berlaku melebihi keraguan yang munasabah.

Dalam keadaan sekarang di mana hukuman sedang berjalan, satu-satu pilihan yang tinggal buat Najib untuk dibebaskan hanyalah memohon pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.

Dalam hal ini, ada sebahagian penyokong Najib yang mahu keluarga bekas Perdana Menteri itu menumpukan kepada hal tersebut sepenuhnya buat ketika ini dan melupakan saja untuk memohon semakan buat kali kedua.

Malah, ada penyokong Najib yang yakin jika fokus itu diberi tumpuan mulai sekarang, Najib tidak mustahil boleh dibebaskan sebelum sambutan Hari Raya ini.

Bolehkah begitu?

Meskipun kuasa memberi pengampunan adalah hak Agong, tetapi prosesnya mesti melalui Lembaga Pengampunan yang dalam erti kata lain, usul pembebasan itu mesti diusul atau dipersetujui terlebih dahulu oleh kerajaan dan Perdana Menteri.

Ia sama seperti kes Anwar Ibrahim diberi pengampunan pada 2018 dahulu di mana Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad mendapat mandat sepenuhnya daripada PH yang baru membentuk kerajaan, untuk mengemukakan pengampunan tersebut.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hukuman itu dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.

Ini bermakna ketika Anwar diberi pengampunan pada 2018, beliau sudah menjalani sebahagian besar daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya.

Tetapi, Najib sudah berapa lama berada di Penjara Kajang?

Belum pun setahun daripada hukuman 12 tahun yang dihadapinya.

Dalam tinjauan dengan beberapa peguam, mereka nampaknya berbeza pendapat tentang bila permohonan pengampunan boleh dipohon.

Ada yang mengatakan pengampunan hanya boleh dipohon setelah seseorang pesalah itu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada hukuman dan ada pula yang berkata, tiada tempoh masa yang khusus untuk berbuat demikian.

Dikatakan bila-bila masa saja pengampunan itu boleh dipohon.

Namun demikian, dalam kes Najib yang mana beliau merupakan bekas Perdana Menteri yang pertama dihukum penjara serta untuk memberi pengajaran kepada semua, ramai ditanya pendapat mereka tidak bersetuju sama sekali jika bekas Presiden UMNO itu diberi pengampunan dalam waktu terdekat ini.

Rata-rata beranggapan tempoh yang wajar untuk dipohon pengampunan ialah setelah beliau sekurang-kurangnya menjalani satu pertiga atau separuh daripada hukuman gang diterimanya.

Tambahan lagi, kata mereka, Najib masih ada kes lain berkaitan 1MDB yang sedang berjalan di mahkamah dan pengampunan awal yang diberi kepadanya akan memberi kesan kepada kes-kes tersebut.

Biarlah beliau menjalani hukuman sewajarnya terlebih dahulu, bahkan ini juga untuk memberi keadilan kepada pesalah-pesalah lain juga, tambah mereka lagi.

Seorang pemimpin politik yang enggan disebut namanya berkata, dalam kes Najib, beliau paling wajar menjalani separuh daripada hukuman sebelum hendak diberi pengampunan.

“Tempoh enam tahun berada di penjara daripada 12 tahun hukuman yang diterimanya sekurang-kurangnya merupakan tempoh yang cukup untuk Najib bertaubat dan beribadat.

“Beliau tidak perlu memikirkan soal dunia lagi selepas ini,” tegas pemimpin berkenaan. – ShahbudinHusin 03/04/2023.

 

No comments: