Beri masa kerajaan selesai isu lambakan doktor kontrak


 Mogok dirancang kumpulan doktor kontrak hanya akan memberi impak negatif kepada sistem kesihatan secara keseluruhan, kata seorang pakar perubatan.


Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid yang merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Polisi, Ekonomi dan Pengurusan Kesihatan) berkata, negara masih memerlukan masa bagi merencanakan transformasi kesihatan secara menyeluruh termasuk dalam hal membela nasib doktor kontrak.


Kerajaan tegasnya perlu diberi masa untuk menyelesaikan isu tersebut dengan baik.


"Kita tahu bahawa sejak daripada beberapa tahun lepas sudah ada desakan untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menangani masalah pelantikan doktor-doktor yang terlatih tidak mengikut acuan ataupun sektor lain yang dikendalikan oleh JPA.

Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid

"Sistem kesihatan belum lagi menjalani reformasi yang dirancangkan dengan terperinci. Saya yakin kerajaan yang ada sekarang begitu serius menangani masalah ini.


"Pada masa yang sama kerajaan melihat kepada suatu bentuk reformasi yang lebih luas di mana mereka akan menyediakan prasarana kesihatan yang lebih baik dan juga sumber kewangan yang lebih kukuh bagi memberikan ruang kepada kerajaan melantik (doktor kontrak).


"Kita tahu bukan satu perkara yang mudah untuk memperbaiki sistem kesihatan dan ia memerlukan tindakan yang komprehensif, yang dirancang dengan baik supaya kita tidak menghadapi masalah pada masa hadapan," katanya.


Dr Syed Mohamed Aljunid berkata begitu ketika muncul sebagai tetamu program Fokus Minggu Depan terbitan Astro Awani.


Khabar angin sebelum ini menyatakan lebih 8,000 doktor kontrak mahu mengadakan mogok bermula 3-5 April ini dengan bertindak mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit.


Kumpulan dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia berkata, 3,000 doktor kontak akan meletakkan jawatan mereka bermula 1 April sebagai membantah membantah “sistem tidak adil dan gaji rendah” dalam sektor penjagaan kesihatan awam.


Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Tertinggi untuk mencari jalan menyelesaikan isu perjawatan berkenaan.


Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan isu tersebut tetapi meminta kerajaan diberi masa munasabah untuk mengotakannya.


Dalam pada itu, Dr Syed Mohamed Aljunid berkata, pihak yang terlibat harus faham bahawa sistem kesihatan negara memerlukan sumber kewangan yang tinggi untuk membiayai gaji dan pencen.


Justeru beliau berharap pihak berkenaan akan berfikir dengan lebih rasional sebelum mengambil bahagian dalam mogok yang mahu diadakan.


"Pada masa sekarang kita cuma membelanjakan tak sampai pun lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar jadi ini menyebabkan jumlah yang diperlukan untuk membiayai gaji dan sebagainya termasuk pencen itu terhad.


"Kita juga tahu sekarang juga kita mempunyai lambakan doktor dalam negara sejak tahun 2020, di mana kita sudah pun mencapai ratio doktor ke populasi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang menyarankan satu doktor ke 500 pesakit, kita sudah mencapai di bawah 500," jelasnya lagi.

No comments: