Import telur ayam tak guna satu sen pun duit kerajaan, untung rugi syarikat tanggung sendiri



MALAYSIA DATELINE

Kelulusan khas sementara pengimportan telur ayam tidak melibatkan dana awam, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Menerusi satu kenyataan hari ini, MAFS berkata sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ditanggung sepenuhnya syarikat pengimport dan tiada dana awam digunakan.

“Kerajaan Malaysia tidak ada memberikan subsidi kepada telur ayam import sepertimana yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan,” katanya.

Pada 6 Dis lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara mengatasi kekurangan bekalan telur. 

Kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022.

Bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat dan bebas penyakit, MAFS berkata Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara.

Kawalan adalah secara ujian Hold, Test and Release (HTR) merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport gagal ujian ini,” katanya. 

MAFS berkata berdasarkan rekod DVS, usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara sejak Januari lepas telah mula menunjukkan perkembangan positif. 

Berdasarkan rekod itu, Malaysia mengalami kekurangan telur ayam sebanyak 118,272,070 biji pada Okt 2022; 157,543,291 biji (Nov 2022); 1,282,094 biji (Dis 2022) namun mengalami pertambahan 160,649,928 biji pada Januari tahun ini.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan langkah-langkah proaktif untuk memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin,” katanya. 

— BERNAMA

 

No comments: