ANWAR JANGAN MENGALAH, LEBIH CANTIK KALAU BERANI ULANG LAGI TUDUHAN YANG SAMA TERHADAP TUN MAHATHIR

 

Tun Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menarik balik dakwaan bahawa beliau mengayakan diri dan ahli keluarganya semasa berkuasa dahulu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar membuat dakwaan tersebut semasa berucap di Kongres Khas PKR baru-baru ini.

“Kalau dalam tujuh hari (Anwar tidak tarik balik dakwaan itu) saya akan ambil tindakan undang-undang,” kata Tun Mahathir dalam sidang medianya pagi ini.

Tambah beliau, surat tuntutan untuk berbuat demikian sudah pun dihantar semalam ke pejabat Anwar di Putrajaya.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang membuatkan Tun Mahathir mahu menyaman Anwar itu:-

Video Player
00:00
01:00

Perlukah Anwar menarik balik dakwaan tersebut sebagaimana dituntut oleh Tun Mahathir?

Soal kekayaan Tun Mahathir dan keluarga beliau sebenarnya bukan kali pertama Anwar bercakap mengenainya Kongres Khas PKR itu.

Sejak dipecat daripada kerajaan pada 1998, rasanya sudah hampir ratusan kali Anwar bercakap mengenainya dalam ceramah, pentas politik, ucapan terbuka dan sebagainya.

Ia bukanlah tuduhan yang asing bagi Anwar, tambahan lagi sebagai bekas Menteri Kewangan ketika era Tun Mahathir dan kini kembali semula sebagai Menteri Kewangan bersama jawatan Perdana Menteri yang diidam-idamkan sejak dulu, bukti dan fakta tentu tidak sukar untuk beliau mengumpulkannya.

Maka, berhadapan ancaman saman ini, jangan sesekali Anwar tunduk atau mengalah dengan tuntutan Tun Mahathir itu.

Anwar bukan saja mesti sedia dan berani berdepan Tun Mahathir di mahkamah untuk membuktikan dakwaannya itu, malah lagi cantik kalau dalam sehari dua ini tampil mengulang-ulang lagi tuduhan yang sama itu.

Ia sebagai tanda beliau benar-benar serius dan ada bukti atas tuduhannya terhadap Tun Mahathir itu.

Dalam waktu yang sama, melalui proses mahkamah nanti, ia juga merupakan peluang untuk Tun Mahathir membuktikan kekayaan beliau dan anak-anaknya tiada kaitan sama sekali dengan kuasa sebagai Perdana Menteri yang pernah dimilikinya.

Lawan tetap kawan…sebagaimana berani menyaman, Anwar wajib lebih berani untuk kena saman dan membuktikan kebenaran. – ShahbudinHusin 28/03/2023.




No comments: