JANGAN GUNA AGAMA UNTUK POPULAR, TITAH SULTAN SELANGOR KEPADA PEMIMPIN POLITIK

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peringatan kepada semua pemimpin politik – tanpa mengira kaum – supaya tidak menjadikan agama untuk menjadikan diri mereka popular.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan itu dibuat atas kapasiti baginda sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini.

“Ahli politik boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu tetapi mereka tidak mempunyai kata putus atau kuasa,” titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan The Star.

Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Mais baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat lain tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

“Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

“Begitu juga, penganut Kristian, saya percaya, tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao,” titahnya kepada The Star.

Kenyataan Mais merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik baru-baru ini berkenaan program Projek Artikel 11 Jom Ziarah anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penganjur program tersebut menjemput belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan termasuk acara di gereja.

Pada masa sama baginda turut mengimbau kisah silamnya sewaktu almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

“Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

“Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadah,” titahnya.

Begitu juga, Sultan Sharafuddin bertitah ayahanda baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diberitahu oleh mufti bahawa dibenarkan memakai pingat dan lencana pada pakaian seragam baginda, termasuk yang menyerupai salib kerana itu bukan barangan keagamaan.

Pada 13 Mac, pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin mendakwa Impact Malaysia serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggunakan program Jom Ziarah sebagai sebahagian daripada unsur Kristian evangelis.

Bagaimanapun, Impact Malaysia telah menafikan dakwaan itu dan Yeoh kemudiannya mengumumkan bahawa program itu telah diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara.



No comments: