Anwar, sudah tiba masanya untuk kotakan kata-kata! SIRI 1


PM harus sedar rakyat akan menuntutnya bekerja dengan piawaian lebih tinggi




ANWAR IBRAHIM OFFICIAL/FACEBOOK

Selamat tahun baru lunar kepada semua yang menyambut. Aliran berharap Tahun Arnab kali ini akan membawa keamanan, perpaduan dan keadilan untuk semua.

Hari ini, 31 Januari 2023, adalah hari ke-69 sejak Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Sejak dua bulan lalu, beliau telah memikul tanggungjawabnya tanpa canggung walaupun dengan hampir tidak sempat untuk ‘berbulan madu’.

Namun, bertahun-tahun lamanya Anwar berkhidmat dalam kerajaan dan sebagai ketua pembangkang (termasuklah beberapa tempoh di dalam penjara) telah membentuk beliau menjadi ahli politik berpengalaman seperti hari ini, cukup sesuai bagi memegang jawatan selaku PM.

Dalam meningkatkan hubungan dengan negara jiran, PM telah memilih dengan teliti bagi melawat Indonesia, Brunei dan Singapura – susunan ini mungkin mencerminkan apa yang menjadi keutamaannya.

Walaupun beliau mengutamakan dasar berasaskan keperluan manakala dasar berasaskan kaum dan agama tidak terlalu ditekankan, beliau juga pada waktu sama tidak boleh dilihat meminggirkan atau memperleceh kepentingan Islam.

Beliau barangkali sedar bahawa beliau tidak boleh mengabaikan ‘gelombang hijau’ yang berlaku pada pilihan raya umum tahun lalu.

Seperti yang ditegaskan oleh artikel Azmil Tayeb yang dikeluarkan Aliran sebelum ini, “hampir 90% orang Melayu mengundi gabungan Melayu-Islam PN [Perikatan Nasional] dan Barisan Nasional yang dikuasai Umno manakala 90% daripada etnik Cina dan 75% daripada etnik India mengundi Pakatan Harapan.”

Jadi Anwar dan pasukannya mempunyai perjuangan yang sukar untuk menangani jurang etno-agama yang serius di negara ini. Mereka mesti mempamerkan, melalui dasar dan tindakan mereka, bahawa mereka ikhlas dalam mendekati semua orang yang memerlukan, terutamanya golongan miskin.

Jika kerajaan memberi tumpuan kepada golongan terpinggir, golongan miskin di kalangan kedua-dua etnik Melayu dan etnik lainnya, bantuan sudah pasti akan sampai buat mereka yang memerlukan.

Kebimbangan di kalangan ramai orang Melayu bahawa kaum minoriti akan menguasai ekonomi sehingga menjejaskan golongan mereka sangat memerlukan perhatian dan penjelasan yang teliti.

Kerajaan pimpinan Anwar melancarkan konsep madani pada 19 Januari dengan tujuan bagi menyediakan prinsip asas bagi merancakkan ekonomi dan memampankan pembangunan bagi manfaat semua rakyat, tanpa mengira kaum, etnik atau agama.

Konsep “Malaysia madani” (masyarakat sivil) menggagaskan sebuah negara yang menekankan kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang adil, saksama dan berkesan.

Madani merupakan akronim yang digubah daripada enam nilai teras yang mendasarinya – kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan belas kasihan.

Dalam menjelaskan konsep Malaysia madani, PM menegaskan bahawa pertumbuhan dan pembangunan mesti dicapai di dalam konteks ekonomi berperikemanusiaan yang mengutamakan keperluan rakyat.

“Malaysia mesti dikenali sebagai negara madani yang makmur, adil dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap mana-mana individu atau kaum. Ia mesti menjadi sebuah negara yang terkenal dengan semangat baharu,” kata Anwar.

Enam nilai murni di bawah konsep madani sememangnya wajar disokong oleh semua pihak yang percaya kepada keadilan dan kesaksamaan untuk semua.

Namun, ia harus dibuktikan. Anwar dan pasukannya perlu berhati-hati dengan program dan dasar yang bertentangan dengan nilai madani.

Misalnya, kontroversi baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di Johor Bahru mengenai program khas bagi pelajar lemah yang terdiri daripada kaum Melayu tingkatan lima yang sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan SPM.

Sekiranya program khas itu dibenarkan kepada semua pelajar tingkatan lima yang lemah dalam pelajaran tanpa mengira etnik mereka, pasti tidak akan ada kekecohan oleh ibu bapa pelajar dari kaum lain.

Tindakan telah dilaksanakan di sekolah itu sekarang bagi menguruskan isu ini: pengurusan sekolah mengumumkan ada nada sesi berasingan bagi pelajar lemah dari etnik lain.

Persoalan besarnya ialah, apa keperluan untuk mengasingkan pelajar mengikut etnik pada awalnya? Sekolah adalah tempat yang sesuai untuk memupuk persahabatan dan ikatan muhibah.

Dengan motivasi yang sesuai, para pelajar, tanpa mengira etnik atau agama, akan bergaul dengan baik sekali gus memupuk semangat setiakawan yang selalunya kekal seumur hidup..


 

No comments: