BERSATU DAN PAS KINI BERMASALAH, PN DIANCAM BAHAYA

 Siap Pas!!

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diberitakan telah mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti tersebut pada PRU15 yang lalu.

Menurut sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata setakat ini, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

“Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil lebih ramai saksi bagi membantu siasatan.

“Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

“Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber itu lagi.

Katanya, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu daripada sekarang.

Tambah sumber itu, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

Dengan 90 penerima duit sedekah telah dikenalpasti, malah turut diambil keterangan mereka, kedudukan Pas kini tentu saja sedang diancam bahaya.

Ia bukan saja mendedahkan beberapa kemenengan Pas dalam PRU15 lalu boleh dibatalkan kerana melanggar undang-undang, malah mengancam masa depan parti itu di mata rakyat.

Jika terbukti banyak kemenangan Pas diraih kerana rasuah, walaupun dianggap sedekah oleh Hadi Awang, imej Pas sebagai parti Islam boleh terhakis dengan sendirinya.

Apa yang berlaku kepada Pas ini juga suatu tamparan secara langsung kepada PN setelah akuan bank Bersatu, sebuah lagi komponen PN telah dibekukan oleh SPRM untuk disiasat berkaitan penggubahan wang haram.

Bersatu bermasalah dan Pas juga bermasalah, mampukah PN menghadapi PRN di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan berkesan?

Selepas berakhirnya PRU15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah memberi wang kepada pengundi.

Pengarah pilihan raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan PAS dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

Pada Januari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

Dia dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada “bersedekah”. – ShahbudinHusin 03/02/2023.



No comments: