PM harus sedar rakyat akan menuntutnya bekerja dengan piawaian lebih tinggi
Sebaliknya, program yang mengasingkan pelajar mengikut etnik
hanya akan mendorong
perpecahan antara mereka.
Di bawah konsep madani, pengasingan pelajar mengikut kaum atau etnik sepatutnya tidak akan berlaku. Menteri pendidikan dan pasukannya mesti menyemak dengan teliti semua aktiviti dan program ini dan memastikan amalan diskriminasi tersebut dihapuskan.
Anggaplah saja kontroversi sekolah ini sebagai sebuah ‘isu yang
diwarisi’ dari kerajaan terdahulu. Jika menteri ini serius dalam membetulkan
keadaan, beliau dan pasukannya harus menggunakan prinsip madani dalam
melaksanakan dasar yang adil dan saksama.
Pendedahan baru-baru ini bahawa Anwar telah melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai
penasihat kanan ekonomi dan kewangannya, berkuat kuasa 3 Januari, mengundang
kritikan daripada rakan dan lawan.
Seteru politik seperti pengerusi Perikatan Nasional Mahiaddin
Yasin meminta Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan baharunya. Bekas PM itu
menambah bahawa Anwar sendiri harus meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan
dan menumpukan perhatian untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar menjawab bahawa Nurul Izzah telah mengambil peranan
sebagai penasihat khas pro-bono dan oleh itu tidak akan menerima imbuhan
daripada kerajaan.
Malangnya, PM gagal mempertimbangkan bagaimana tanggapan umum
dalam melantik anak perempuannya sendiri sebagai penasihat kanannya.
Pengkritik melemparkan tuduhan bahawa ia adalah nepotisme dan
satu tindakan yang berat sebelah kepada Anwar.
Mereka menegaskan ketika di bawah pentadbiran Abdullah Badawi,
kritikan keras telah diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh menantunya
Khairy Jamaluddin dan “budak-budak tingkat empatnya” dalam mempengaruhi PM
ketika itu.
Begitu juga, siapa yang boleh melupakan pita audio bocor yang
disyaki melibatkan Rosmah Mansor yang bertanya (atau mendesak!) PM Najib Razak
ketika itu: “Can I advise you something?!”
Ini bukanlah untuk memperleceh kelayakan dan keupayaan Nurul
Izzah untuk memainkan peranan yang membina dalam kerajaan.
Namun, dengan melantik dirinya menjadi penasihat kanannya kepada
bapanya, Anwar hanya mengundang kritikan dan memberi peluang kepada pesaingnya
untuk menyerangnya. Ia adalah sebuah kesilapan yang boleh dielakkan jika Anwar
lebih berhati-hati dan peka terhadap tindak balasnya.
Anwar cuba menjelaskan bahawa pelantikan Nurul Izzah adalah
berdasarkan pengalaman dan kelayakannya.
Namun yang pasti, Izzah bukanlah satu-satunya bakat yang ada di negara
ini. Biarkan beliau memainkan peranan penting namun janganlah pula melantik
beliau sebagai penasihat kanan kepada PM, yang kebetulan adalah bapanya.
Anwar telah membentang banyak idea yang memberikan tanggapan
baik kepada mereka yang bercita-cita untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan
bersatu dalam memerangi rasuah. Pada perhimpunan Tahun
Baharu Lunar di Pulau
Pinang, beliau berkata “pembangunan akan menjadi lompong jika ia
wujud tanpa keadilan sosial atau dalam mengiktiraf kepelbagaian budaya di
Malaysia”.
READ MORE: Worry no more, Mahathir - Anwar can
do a far better job than you did!
Pengagihan kekayaan perlu seimbang dan lebih banyak perlu
dilakukan bagi golongan 40% termiskin dalam masyarakat, tegasnya.
Ada benarnya dengan apa yang dilontar, namun ia masih awal untuk
melihat sama ada dasar yang adil dan saksama ini benar-benar akan dilaksanakan.
Oleh itu, Anwar harus memberi perhatian khusus kepada realiti di
lapangan. Pengulas Dr Raman
Letchumanan dalam artikelnya tanpa berlapik terus mencabar
Anwar dan pasukannya, termasuk penjawat awam yang berkaitan, untuk segera
meringankan keadaan mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar.
Statistik yang ada cukup membimbangkan: bilangan isi rumah dalam
kemiskinan tegar telah menunjukkan trend yang meningkat: 27,158 pada 2019,
78,000 pada 2020, dan 136,000 tahun lepas.
Kekayaan yang ada tidak diagihkan secara adil dan hanya tertumpu
di tangan segelintir golongan elit: yang kaya semakin kaya dan yang miskin
semakin miskin.
Anwar dan pasukannya mesti melipatgandakan usaha dan
menghasilkan dasar fiskal yang berani bagi mengurangkan ketidakseimbangan ini.
Kita masih jauh untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi; kesan lelehan
ekonomi (trickle down) langsung tidak berlaku.
PM dan pasukannya belum pun mentadbir selama 100 hari namun kita
sudah pun menyaksikan kontroversi dan kesilapan. Ini sudah dijangka tetapi
beliau mesti lebih berhati-hati dan mengelak daripada membuat terlalu banyak
kesilapan.
Anwar mesti sedar, melihat kepada semua nilai dan prinsip tadbir
urus yang baik yang digagaskannya selama ini semasa berada di barisan
pembangkang, rakyat akan menuntut beliau bekerja dengan piawaian lebih tinggi.
Anwar tiada pilihan: beliau perlu kotakan kata-katanya.
Apa pun, mengambil pedoman daripada lagu John Lennon berjudul
Give Peace a Chance, kita juga harus ‘memberi peluang kepada Anwar’ untuk
menunjukkan kepada kita apa yang beliau boleh lakukan.
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Januari 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Tel: 04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com