Daripada sudut yang lain, “fatwa politik” Presiden Pas, Hadi
Awang bahawa memberi wang kepada pengundi ketika kempen pilihan raya adalah
sedekah dan bukan rasuah, dengan jelas merupakan suatu pengakuan amalan itu
memang dilakukan parti tersebut.
Berikutan ia pula dikeluarkan susulan tindakan UMNO Terengganu
memfailkan petisyen terhadap keputusan PRU15 lalu bagi kerusi Parlimen Marang,
Kemaman dan Kuala Terengganu, ia juga suatu pengesahan perbuatan memberi wang
kepada pengundi memang berlaku sekurang-kurangnya di ketiga-tiga kawasan
terbabit.
Jika tidak, mengapa Hadi dengan selamba mengatakan memberi wang
kepada pengundi adalah sedekah dan bukan rasuah?
Tetapi, tahukah Hadi bahawa perbuatan memberi wang ketika kempen
pilihan raya adalah suatu perbuatan rasuah dan menyogok pengundi serta suatu
kesalahan dalam undang-undang pilihan raya?
Kalau mahu bersedekah, kenapa tidak melakukannya di luar waktu
kempen?
Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said
mengesahkan pihaknya telah memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan
keputusan PRU15 lalu membabitkan kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala
Terengganu.
Ahmad berkata, petisyen difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala
Terengganu pada 3 Januari itu dibuat kerana berlakunya pengagihan wang secara
berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.
Dakwanya lagi, pengagihan wang sebenarnya turut berlaku di lapan
kawasan Parlimen di Terengganu, namun disebabkan kesukaran mendapatkan saksi,
hanya tiga petisyen dapat difailkan buat masa ini.
Bersama kenyataan Hadi itu, Setiausaha Agung PN, Hamzah
Zainuddin juga mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan memberi gambaran bukan
suatu kesalahan memberi wang kepada pengundi.
Katanya, apabila kita bercakap tentang memberi wang, niat adalah
lebih penting mengenai perkara itu.
“Saya fikir kita perlu berhati-hati berkenaan niat mengapa wang
diberikan dan juga orang yang memintanya,” katanya lagi.
Makna kata, petisyen UMNO Terengganu itu sudah ada merit untuk
mendapat kemenangan di mahkamah nanti.
Mungkin kena kerja lebih sikit, berdasarkan pengakuan Hadi itu
juga, tidak bolehkah BN dan PH berusaha mencari bukti berlakunya amalan memberi
wang di semua kerusi yang dimenangi Pas pada PRU15?
Entah-entah semua kerusi dimenangi parti itu hanya kerana wang,
bukan disebabkan perjuangan? – ShahbudinHusin 23/01/2023.