JIKA ANWAR MAHU JUGA DIJATUHKAN 19 DISEMBER INI, SIAPA INGIN DIJADIKAN PERDANA MENTERI? ADAKAH HADI?

 Di atas kertas dan berdasarkan perkiraan logik, Anwar Ibrahim dilihat tiada masalah untuk melepasi usul undi percaya di Parlimen pada 19 Disember ini.

Dengan sokongan terbina melalui 148 daripada 222 Ahli Parlimen menyokongnya dalam pembentukan kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong, ternampak hampir mustahil untuk blok pembangkang menggugat kedudukan tersebut.

Lagi pula, dengan Anwar hanya baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November dan jika pada 19 Disember, beliau sudah mahu dijatuhkan, bukan kepalang derhaka namanya jika Ahli-Ahli Parlimen masih tergamak berbuat demikian.

Begitu pun, selagi namanya politik dan politik itu seni yang serba mungkin, Anwar tidak harus bersikap mudah atau alpa untuk mendepani tarikh undi percaya itu nanti kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku.

Yang penting, beliau harus memastikan tanpa kompromi setiap parti yang menyokong kerajaan perpaduan ini membuktikan “kata benar-benar dikota” daripada kalangan semua Ahli Parlimen parti masing-masing.

Tidak patut wujud pendirian yang berbeza lagi di kalangan Ahli Parlimen setelah parti membuat ketetapan akur dengan titah Agong menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.

Jika dibenarkan berlaku juga, apa gunanya ada Akta Anti Lompat parti dikuatkuasakan?

Meski begitu, sebagaimana disedari semua, gerakan dan serta usaha mahu menjatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri tetap tidak pernah berhenti daripada beroperasi.

Satu-satunya kilang yang tidak pernah tutup atau rehat ialah kilang menjatuhkan orang melalui politik.

Soalnya, jika Anwar mahu dijatuhkan, siapa pula ingin dinaikkan sebagai Perdana Menteri?

Adakah Mahiaddin Md Yasin yang pernah gagal teruk selama 17 bulan sempat berkuasa sebelum ini mahu diangkat semula?

Tidak ingatkah kita bagaimana beliau telah mendaruratkan Parlimen kerana takut undi tak percaya dibentangkan terhadapnya, kemudian tidak mesra media dan selalu syok sendiri dengan tampil sendirian melalui perutusan khas semata-mata?

Pemimpin begitukah kita mahukan memimpin negara ini sekali lagi?

Atau kita mahukan Ismail Sabri Yaakob yang mungkin lebih baik daripada Mahiaddin, tapi Mahiaddin sendiri mengatakan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang juga gagal – untuk dijadikan Perdana Menteri buat kali kedua?

Atau jika Anwar berjaya dijatuhkan kali ini, kita mahu Presiden Pas, Hadi Awang pula diletakkan sebagai bakal Perdana Menteri negara ini?

Sediakah orang Islam yang rasional serta orang bukan Islam di negara ini melihat Hadi jadi Perdana Menteri?

Selain mereka, siapa lagi yang layak untuk diketengahkan mengetuai negara ini?

Adakah Tuan Ibrahim Tuan Man, Hamzah Zainudddin atau Takiyuddin Hasan turut layak untuk dijadikan Perdana Menteri?

Mahu tidak mahu, harus kita akui bahawa dalam waktu semasa atau terdekat ini, tiada mana-mana pemimpin yang lebih baik dan layak selain Anwar untuk mengemudi negara ini.

Sebelum ini, ada keghairahan untuk menukar Perdana Menteri kerana Anwar yang dirasakan paling sesuai dan paling layak memimpin negara ini belum berpeluang menduduki jawatan tersebut.

Tetapi, setelah Anwar berada di situ, pencarian lain sudah tidak diperlukan lagi – sekurang-kurangnya untuk waktu terdekat atau sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Dengan ketokohannya yang tidak perlu dipertikaikan lagi, dikenali di seluruh dunia, punya hubungan antarabangsa yang meluas, seorang pejuang reformasi yang gigih lagi cekal, tidak pernah kenal penat, pemidato yang hebat dan tidak takut berdepan media dan sesiapa saja untuk berdebat, cuba menukar Anwar tidak ubah seperti memilih jalan gelap untuk masa depan negara ini.

Lebih gelap lagi masa depan kita semua jika akhirnya pilihan itu ditakdirkan jatuh kepada Hadi hanya kerana semata-mata Pas memiliki paling banyak kerusi dalam blok pembangkang sekarang ini.

Dalam konteks Anwar dan dengan segala pakej yang dimilikinya, beliau seharusnya diberi ruang yang cukup selesa untuk memimpin negara, seterusnya membuktikan hasilnya kepada kita semua, bukan dijatuhkan di garisan permulaan lagi. – ShahbudinHusin 07/12/2022.


No comments: