APA MASALAHNYA JIKA PERDANA MENTERI BERMENTALITI PEMBANGKANG?


 Agaknya kerana mula terasa panas dengan beberapa pendedahan awal Perdana Menteri berkaitan sisi gelap kerajaan terdahulu pimpinan Mahiaddin Md Yasin, kini timbul serangan bahawa Anwar Ibrahim didakwa masih bermentaliti pembangkang.

Antara pendedahan awal Anwar itu ialah wujudnya perlanggaran peraturan dalam perbelanjaan kerajaan ketika pandemik Covid19, wang judi membiayai kempen PN dan semakan semula projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion daripada RM15 bilion yang diluluskan secara runding terus lantaran aspek ketelusan didapati tidak dipatuhi.

Kononnya, kata mereka, tugas utama Perdana Menteri dan kerajaan sekarang ialah memberi khidmat terbaik dan menyelesaikan isu-isu berkaitan rakyat, bukannya sibuk menyelongkar almari buruk.

Lalu, mereka menyenaraikan beberapa isu melibatkan rakyat seperti harga ayam, telur, sayur-sayuran dan pelbagai lagi yang masih belum dicari jalan penyelesaiannya sehingga kini.

Kepada PN yang kini menjadi blok pembangkang, tak usah risau, Anwar bukanlah tidak sedar peranan serta tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan mengetuai kerajaan.

Anwar juga tentunya lebih daripada sedar tentang harapan tinggi rakyat terhadapnya untuk meringankan beban kehidupan mereka.

Tetapi, harap semua bersabar sikit kerana kabinet belum pun sampai seminggu dibentuk, malah timbalan-timbalan menteri juga belum lagi dilantik.

Takkan hari ini kahwin, tup-tup esok lusa dah nak dapat anak?

Sabar-sabarlah dulu…

Namun demikian, dalam keadaan blok pembangkang siang malam terus mencari salah kerajaan yang relatifnya masih terlalu baru ini, diharap mereka tidak lupa bahawa perkara pertama yang diambil berat Anwar iaitu pada 27 November, tiga hari selepas mengangkat sumpah pada 24 November ialah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Selepas bermesyuarat itu, beliau seterusnya memberi tempoh dua minggu kepada majlis berkenaan untuk meneliti dan memperincikan pelbagai isu berkaitan subsidi rakyat, seterusnya menghantar laporan kepadanya.

“Saya beri tempoh dua minggu untuk mereka mencerakin, menyelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk meringankan beban rakyat miskin,” katanya.

Dengan tindakan tersebut, bukankah Anwar sebenarnya telah memperlihatkan beliu amat mengutamakan soal perut dan poket rakyat?

Cuma, sekali lagi, sabarlah dulu untuk tindakan yang lebih menyeluruh kerana tempoh dua minggu itu belum pun cukup detiknya lagi.

Malah, sementara menunggu tempoh dua minggu itu, Anwar juga mengadakan perbincangan dengan tauke Bernas, Syed Mokhtar Al-Bukhary yang kemudian bersetuju menyumbang RM60 juta kepada pesawah padi di seluruh negara.

Semua ini adalah langkah agresif dan cakap serupa bikin Anwar untuk membantu golongan yang dikenalpasti susah dan memerlukan bantuan.

Percayalah, langkah seterusnya untuk golongan susah yang lain akan terus diberi perhatian selepas ini secara bertahap mengikut keutamaan serta keperluan.

Tetapi, dalam kita juga mesti melihat usaha murni Anwar dalam membela kehidupan rakyat dengan mata hati, bukan dengan jelingan dengki, di waktu yang sama beliau juga ada tanggungjawab moral mendedahkan salah laku serta kecurangan yang mungkin dilakukan kerajaan terdahulu.

Semua kecurangan dan salah laku itu semestinya perlu didedahkan agar rakyat tahu hakikat yang sebenarnya.

Ini bukan saja agar, jika ada pelanggaran undang-undang dan peraturan telah berlaku, maka tindakan sewajarnya harus diambil, malah ini juga suatu peringatan kepada pasukannya dalam kerajaan sekarang agar menjauhi perbuatan terkutuk itu.

Bagi mereka yang rasional, tidaklah sukar memahami bahawa mendedahkan kecurangan kerajaan terdahulu adalah suatu keperluan kerana daripada pembersihan itulah baru lebih mudah melakukan pendekatan yang benar-benar berkesan untuk membela rakyat.

Kalau kerana itu, Anwar dianggap masih bermentaliti pembangkang, apa masalahnya?

Jika kerajaan terdahulu atau pimpinannya tidak terlibat dengan apa-apa salah laku serta kecurangan, kenapa mereka mesti takut dengan penyelongkaran dan kerana Anwar masih bermentaliti pembangkang?

Lagi pun, kalau dengan tindakan Anwar yang bermentaliti pembangkang lantaran terus mendedahkan kemungkaran demi kemungkaran yang cuba disembunyikan itu dapat membawa kebaikan kepada masa depan negara, tak bolehkah blok pembangkang sama-sama memberi sokongan?

Atau blok pembangkang sekarang yang tak sedar diri dan masih perasan sebagai kerajaan? – ShahbudinHusin 08/12/2022.



No comments: