Isu undi tentera, Anwar akan serah bukti kepada SPR





 

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan dakwaan berhubung isu undi tentera dan akan menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Pengerusi Pakatan Harpaan itu menafikan dakwaan tersebut dibuat tanpa mempunyai bukti dan sudah membuat kenyataan terbuka supaya tindakan diambil dengan segera.

“Saya sudah buat kenyataan terbuka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu saya mengemukakan bukti. Jadi, saya akan beri kepada mereka,” katanya dipetik laporan FMT.

Terdahulu, Anwar mendakwa terdapat anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera di Pahang, sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Kerusi Parlimen Bera ditandingi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional, Asmawi Harun, dan Abas Awang (PH).

Menurut laporan MKini, Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra di Kuala Terengganu.

Laporan itu juga menyatakan, Presiden PKR itu turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian (mengundi).

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya dipetik laporan media tersebut.

Susulan itu, Ismail Sabri membidas Anwar mengenai dakwan itu, sambil menyatakan dakwaan itu “berniat jahat” dan “fitnah”.

Ismail, yang mempertahankan kerusi Bera, mendesak Anwar menarik balik kenyataan dibuat, sambil menyatakan presiden PKR itu menghina angkatan tentera.

Malaysia akan mengundi pada 19 Nov dengan undi awal ditetapkan, pada 15 Nov.

 

No comments: