MB Perak umum bubar DUN, dapat perkenan Sultan

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serta-merta.

Saarani menamatkan teka-teki berhubung pembubaran DUN Perak apabila mengesahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan untuk membubarkan dewan bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan bersama dengan pusat.

Saarani berkata pembubaran DUN itu dibuat selaras dengan Fasal 2, Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya dipetik laporan BH .

Rabu lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran DUN Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh, selain menambah bahawa pengumuman keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas baginda membuat pertimbangan sewajarnya.

Jumaat lalu, media melaporkan Pahang dan Perlis masing-masing membubarkan DUN ke-14 berkuatkuasa hari itu juga bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setakat ini, hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis dilaporkan akan dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya bersekali dengan pemilihan di peringkat Parlimen.

Ia kecuali bagi DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak yang baharu melalui pilihan raya negeri di mana DUN tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.