HANG KENA FAHAM LA KHAIRY- UMNO NAK SEPAK HANG ....

 

‘Terima kasihlah’ kata KJ susulan kenyataan Tok Mat kerusi Rembau akan diganti.



Khairy Jamaluddin memberikan laluan kepada Mohamad Hassan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15

SERDANG: Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada Umno yang dilaporkan akan mencari lokasi yang sesuai untuk beliau bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.

Mohamad juga memberi jaminan untuk mencari kerusi lain yang sesuai kepada Khairy sebagai ganti.

Kata Mohamad, Khairy merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara, sudah tentu Umno tidak mahu beliau “hilang” begitu saja.

“Terima kasihlah,” kata Khairy ringkas ketika ditanya wartawan mengenai jaminan Mohamad itu.

Khairy juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika sidang media sempena Majlis Penyerahan Projek Pusat Kardiologi Hospital Serdang.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Pusat Jantung Hospital Serdang yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, akan mula beroperasi pada 12 Disember depan, sekali gus mengurangkan separuh masa menunggu bagi rawatan jantung.

Katanya, pusat jantung yang dilengkapi peralatan terkini itu akan mengurangkan separuh masa menunggu rawatan angiogram dari 18 bulan kepada sembilan bulan untuk kes elektif yang stabil, manakala kes kecemasan tetap diberikan rawatan serta-merta.

Katanya, pusat jantung membabitkan kos RM546 juta itu dibina dengan satu blok kardiologi lapan tingkat yang mampu menempatkan 262 katil, serta satu blok tempat letak kereta sembilan tingkat yang memiliki 536 petak parkir.

“Dengan adanya bangunan baharu ini, perkhidmatan jantung Hospital Serdang mampu menerima pesakit dua kali ganda berbanding bilangan pesakit sedia ada.

“Kalau dahulu kita dapat buat 35,000 prosedur jantung di Hospital Serdang, dengan adanya pusat ini, ia akan meningkat kepada 60,000 prosedur jantung setiap tahun.

“Dengan kemampuan melaksanakan 60,000 prosedur jantung setahun, ia sekali gus menjadikan Pusat Jantung Hospital Serdang sebagai fasiliti kardiologi invasif terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Khairy berkata, antara fasiliti yang melengkapi Pusat Jantung Hospital Serdang ialah Makmal Jantung Invasif (ICL) yang pertama di Jabatan Kecemasan, sekali gus membolehkan kes serangan jantung akut menerima rawatan segera.


No comments: