Tiada ruang untuk PN, GTA dalam PH
Propaganda yang sengaja direkayasa sejak beberapa hari ini mengenai kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan pakatan pilihan raya atau electoral pact bersama PN dan GTA mustahil akan berlaku biar pun terdapat ahli akademik pro PH yang mahukan hal sedemikian.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, prinsip asas PH perlu diterima oleh mana mana parti yang ingin berkerjasama, terutama isu calon Perdana Menteri PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Juga ada banyak isu lain termasuk lawan rasuah, tadbir urus baik, reformasi kita perjuangkan selama ini, isu rakyat.
“Itu isu asas yang menjadi rukun,” katanya dalam siri bual bicara bersama Jom Channel kelmarin.
Oleh itu, Pengarah Komunikasi PH itu menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan gimik media atau propaganda pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan kemungkinan terjadinya electoral pact bersama PN dan GTA.
Lebih daripada itu, katanya, pembahagian kerusi telah lebih 90% dimuktamadkan, amat sukar untuk merombaknya semula sekiranya dua gabungan itu akan berkerjasama dengan PH.
“Bagi saya PH telah memutuskan kita perkukuh PH itu sendiri. Dari segi agihan kerusi sudah hampir ke penghujung. Jadi saya tidak lihat ada ruang.
“Akar umbi juga sukar terima, pengundi sukar terima. Mereka melihat beberapa tindakan kawan kawan yang dulu dalam PN (berkhianat), sukar untuk mereka terima langkah pengkhianatan yang mereka lakukan,” ujarnya.
Fahmi juga menegaskan, KEADILAN tidak mudah melupakan sikap Tun Mahathir yang tidak menerima senarai lantikan menteri daripada KEADILAN, sebaliknya melantik rakan rakan Azmin Ali untuk menduduki kuota menteri dalam kabinet beliau.
“Bagi kami dalam KEADILAN sukar untuk kami terima, sebab banyak lantikan menteri yang dia buat, dia tidak mengindahkan pandangan pari. Itu sebab Rafizi tarik diri, Nurul Izzah tarik diri. Sebab mereka patah hati dengan Dr Mahathir,” katanya.
Bagi ahli akademik yang mahukan penyatuan semula pembangkang untuk satu normalisasi baharu PRU 15, kata Fahmi, normalisasinya adalah pertandingan 3 – 5 penjuru dalam PRU kali ini, dan itulah normal baharu politik Malaysia.